SEREMBAN: Semua Badan Perhubungan UMNO negeri sudah menyerahkan nama calon masing-masing kepada UMNO di peringkat Pusat untuk dipertimbang dan disaring terlebih dahulu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, saringan itu merupakan proses pertama sebelum ia dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan parti dalam memastikan calon yang bertanding dapat membawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

“Semua bahagian sudah beri senarai calon, kami kena bersiap awal. Ini baru pusingan pertama,  kita buka dan ambil maklum bahawa bahagian-bahagian telah menghantar calon dan Pengerusi Badan Perhubungan (Negeri) membentangkan, kami ambil maklum dan semak saringan keselamatan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai nama calon yang dihantar, Mohamad berkata, tidak semestinya individu di dalam senarai nama yang telah dihantar berkenaan sahaja yang akan dinilai.

“Bagi parti kami supaya kemenangan itu keutamaan kita. Jika seseorang calon itu boleh memberikan kemenangan, kami kan bagi dia… he or she akan bertanding mewakili parti kita.

“Ada yang memegang jawatan dan tidak semestinya semua mesti memegang jawatan, ada juga merek dari luar tidak memegang jawatan pun boleh diberikan pertimbangan. Calon sebenar nanti setelah kami buat saringan,” katanya.

Menurut Mohamad lagi, UMNO juga mengutamakan strategi meletakkan calon di tempat-tempat tertentu terutamanya membabitkan pertemuan dengan calon heavyweight.

Dalam pada itu, beliau berpendapat terpulang kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan dua tarikh penting iaitu hari penamaan calon dan hari pengundian.

“Kalau boleh tidak perlu lama-lama sangat untuk elakkan musim hujan, Elok diselesaikan segera,” katanya. –UTUSAN

 

The post UMNO terima semua nama calon, buat saringan keselamatan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *