BAGAN SERAI: UMNO yakin dapat mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

BN menang di Parlimen Bagan Serai pada PRU14,  namun calonnya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata,  UMNO bahagian juga yakin merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol yang dimenangi Pas pada PRU14, selain mengekalkan kemenangan di DUN Alor Pongsu dan DUN Selinsing.

Menurutnya, UMNO dijangka mempertaruhkan muka baharu sebagai calon di Parlimen Bagan Serai pada PRU15.

“UMNO bahagian sudah menghantar 16 nama cadangan untuk dipertimbangkan sebagai calon di kerusi Parlimen dan tiga DUN kepada UMNO negeri untuk tapisan pertama dan kemudiannya dibawa ke peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk penilaian keputusan akhir bagi memuktamadkan perkara itu.

“UMNO akan menampilkan beberapa muka baharu bergandingan dengan orang lama bagi mengimbangi suasana politik semasa di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Bagan Serai di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Alor Pongsu, Sham berkata,  terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

“Saya akui pernah menyatakan akan bersara dan tidak lagi bertanding, namun, sekiranya khidmat saya masih diperlukan oleh UMNO dan mahukan saya bertanding bagi mempertahankan kerusi itu, maka saya akan akur kepada keputusan itu.

“Apa jua keputusan daripada pucuk pimpinan tertinggi siapa calon Parlimen dan tiga DUN, kami semua akan akur dan akan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan 4-0 UMNO di Bagan Serai,” katanya. – UTUSAN

The post UMNO yakin pertahan Parlimen Bagan Serai appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *