PETALING JAYA: Kumpulan UMW mengakhiri tahun 2022 dengan cemerlang apabila anak syarikat UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW Perodua mencatatkan jualan yang kukuh.

Menurut UMW, kumpulan memecahkan rekod jualan bulanan dengan pendaftaran sebanyak 41,664 unit pada Disember 2022, iaitu tujuh peratus lebih tinggi daripada 39,034 unit yang didaftarkan pada November 2022.

Dengan itu, kumpulan mencatatkan rekod jualan tertinggi dengan 383,054 unit pada 2022, iaitu 46 peratus lebih tinggi daripada 262,685 unit yang didaftarkan pada 2021 yang terjejas oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP) dari 1 Jun hingga 15 Ogos 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, kedua-dua syarikat telah menunjukkan daya tahan yang tinggi dan menunjukkan prestasi yang sangat baik untuk tahun ini walaupun cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh industri automotif.

“Kami berbesar hati dengan jualan yang kukuh yang didaftarkan oleh UMWT dan rekod jualan yang dicatatkan oleh Perodua pada 2022.

“Kami yakin industri automotif akan terus menunjukkan prestasi yang baik pada tahun ini berdasarkan tempahan yang menggalakkan dan permintaan kukuh yang berterusan. 

“Kumpulan akan terus memperkenalkan model baharu yang menarik pada harga kompetitif untuk memenuhi permintaan pengguna,” katanya dalam kenyataan. 

UMWT dan Perodua melepasi sasaran jualan mereka untuk tahun tersebut, terutamanya disebabkan oleh permintaan kukuh yang dipacu oleh cukai jualan pengecualian serta model baharu yang menarik yang dilancarkan pada tahun ini.

Dengan jualan sebanyak 10,440 unit yang didaftarkan pada Disember 2022, UMWT berjaya merekodkan jualan sebanyak 101,035 unit pada 2022, pertumbuhan sebanyak 40 peratus berbanding 72,394 unit yang didaftarkan pada 2021.

Hasilnya, UMWT terus menerajui segmen automotif bukan nasional walaupun keadaan pasaran dan isu rantaian bekalan yang mencabar.

UMW berkata, pada 2023, pihaknya akan terus memperkenalkan model baharu dan menarik untuk mengekalkan momentum penjualannya.

“UMWT akan terus mengambil pendekatan ke arah neutraliti karbon dan merancang untuk memperkenalkan model Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) kedua tahun ini, selain memperkenalkan Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) untuk pasaran Malaysia,” katanya

Perodua juga telah mencatatkan prestasi rekod jualan yang terbaik pada 2022 dengan catatan jualan sebanyak 282,019 unit pada 2022, peningkatan sebanyak 48 peratus berbanding dengan 190,291 unit yang didaftarkan pada 2021.

“Ia sekali gus memecahkan satu lagi rekod jualan bulanan tertinggi sejak penubuhannya pada Disember 2022, dengan jualan sebanyak 31,224 unit pada bulan tersebut.

“Perodua akan terus memperkenalkan teknologi baharu dalam produk dan perkhidmatan masa hadapan serta akan terus melabur untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengeluaran,” katanya.  – UTUSAN

The post UMW pecah rekod jual 383,054 unit kereta tahun lalu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *