PUTRAJAYA: Selepas tewas percubaan pertama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tiga tahun lalu, Uncle Kentang sekali lagi menawarkan diri sebagai calon bebas di Parlimen Puchong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini, Uncle Kentang atau nama sebenarnya, Kuan Chee Heng berkata, pengundi di kawasan tersebut harus mempunyai seorang wakil yang mampu membawa suara sebenar rakyat ke Parlimen.

“Saya menawarkan suara alternatif bagi rakyat Puchong. Saya dengan rendah diri menawarkan diri sebagai calon bebas di P103 Parlimen Puchong. Biar rakyat Puchong mendapat suara yang sebenarnya.

“Orang Puchong mempunyai pilihan alternatif. Satu suara yang boleh betul-betul mewakili kamu semua, orang tempatan, mudah jumpa di mana-mana di Puchong, mesra dan senang mendapat bantuan. Nak ‘sign’ borang, pejabat dekat Puchong Utama sahaja.

Bukan calon dari luar, (saya) anak penoreh getah, faham masalah rakyat. Bersama rakyat sentiasa, mudah dihubungi dan nombor telefon dipaparkan setiap hari,” katanya.

Tambah Chee Heng, beliau juga pernah menjadi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru selama 14 tahun dan lebih memahami keselamatan serta keperluan masyarakat.

Chee Heng yang juga merupakan aktivis kemasyarakatan turut menyenaraikan contoh-contoh bantuan yang pernah disalurkan olehnya kepada mereka yang memerlukan.

“Saya bukan ahli politik tetapi seorang rakyat yang biasa-biasa yang memahami bila Makcik Kiah tak ada duit bayar bas sekolah anak, bila Makcik Kiah tak ada duit bayar bil elektrik, bila makcik Kiah perlu ambulans, bila Makcik Kiah perlu katil hospital, bila makcik Kiah sedih melihat anak tak makan.

“Bila Auntie Lucy tak ada duit naik teksi ke hospital, bila Auntie Chan Moi yang miskin tak mampu ke hospital naik Grab, bila Murugan sakit diabetik dan potong kaki tak ada kaki palsu, saya ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, Chee Heng memaklumkan, beliau memerlukan ramai petugas sukarelawan untuk hadir ketika proses penamaan calon di Dewan Puchong Indah pada Sabtu ini.

“Untuk kerja sukarelawan, saya perlu sukarelawan yang ramai untuk hadir bersama semasa pencalonan nama di Dewan Puchong Indah. Mari lah kita bawa sepanduk suara rakyat yang benar-benar mewakili rakyat,” katanya.

Parlimen Puchong merupakan kubu kuat DAP yang ditandingi Gobind Singh Deo sejak tiga penggal yang lalu pada 2008.

Pada PRU-14, Gobind menang dengan majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (BN-MCA) yang mendapat 12,794 undi dan Mohamad Rosharizan (Pas) dengan 10,255 undi.

Bagaimanapun, DAP melakukan perubahan dengan meletakkan penyandang kerusi Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin mewakili Pakatan Harapan pada PRU15 di Parlimen Puchong menggantikan Gobind yang akan bertukar ke Parlimen Damansara.

Manakala Barisan Nasional pula mempertaruhkan Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader sebagai calon dan Chew Jyh Gang mewakili Perikatan Nasional. – UTUSAN

The post Uncle Kentang tawar diri bertanding Puchong appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *