PETALING JAYA: Kelompangan dan kelemahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk mengekang kegiatan scam menyebabkan dalang jenayah itu semakin berleluasa sehingga gagal membawa mereka ke muka pengadilan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, undang-undang itu dilihat terhad apabila hanya merangkumi transaksi bank sedangkan mangsa kini diperdaya untuk membuat transaksi menggunakan mekanisme yang lain tanpa melibatkan institusi kewangan.

Justeru itu, beliau menegaskan sudah tiba masanya undang-undang itu ditambahbaik dengan memperluaskan tafsirannya agar dilihat relevan untuk mengekang jenayah scam.

“Saya dapati jenayah tipu untuk sabit kesalahan jenayah penipuan amat sukar, contohnya penggunaan Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Apa elemen untuk membuktikan pesalah terlibat, pertama ada elemen memperdayakan mangsa. Kedua mangsa telah melakukan serahan harta dan seterusnya ada niat curang.

“Tetapi elemen kedua (serahan harta) ini amat sukar dibuktikan pada waktu sekarang, kerana untuk membuktikan serahan harta amat sukar berbanding satu ketika dahulu, mereka menggunakan transaksi bank, tetapi kali ini amat sukar untuk mendorong mangsa membayar wang apabila menggunakan transaksi bukan dalam bentuk perbankan misalnya Kripto.

“Kita mengesyorkan kerajaan untuk membawa isu ini, agar penggunaan akta ini agar lebih relevan bukan setakat transaksi bank sahaja,” katanya dalam slot bual bicara Selamat Pagi Malaysia.

Dalam pada itu, Hishamuddin menggesa kerajaan untuk mengeluarkan senarai syarikat yang menawarkan sebarang kegiatan skim cepat kaya meskipun kegiatan itu berlaku di peringkat awal.

Katanya, tindakan proaktif perlu dilakukan membabitkan pelbagai agensi kerajaan agar penguatkuasaan dan undang-undang dibuat secara menyeluruh untuk menangani scam yang berselindung sebalik nama-nama tertentu.

“Akta Pencegahan Jenayah 1959 atau POCA perlu digunakan lebih dinamik untuk tangkap sindiket sedia ada. Jika ada menghidu kegiatan ini berlaku, ambil tindakan segera dengan mengeluarkan nama, jangan sampai 10,000 mangsa barulah pihak berkuasa keluarkan senarai,” katanya.

Menurutnya lagi, kegiatan scam kini berani menggunakan pelbagai taktik dan berselindung sebalik nama-nama tertentu tetapi hakikatnya modus operandi tetap sama.

“Sebutlah nama itu, nama ini, tetapi modus masih sama dengan niat memperdaya mangsa dan akhirnya mereka mengaburi keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.

Beliau kemudian menyeru mangsa-mangsa untuk menghubungi MHO menerusi talian 01129050000 jika memerlukan bantuan selanjutnya.-UTUSAN

 

The post Undang-undang lompang, buka ruang scam berleluasa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *