KOTA MARUDU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili mengingatkan rakyat Sabah agar memilih calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan Sabah terus membangun.

Beliau berkata, hanya parti pimpinan kerajaan sahaja yang boleh membawa pembangunan di Sabah.

Timbalan Pengerusi GRS itu menafikan dakwaan Kota Marudu ketinggalan daripada pembangunan kerana daerah itu telah berkembang maju.

“Memang masih ada ruang untuk pembangunan. Masih banyak lagi yang kita ingin lakukan di sini jadi, beri saya peluang sekali lagi bagi memenuhi keperluan rakyat di Kota Marudu ini,” katanya dalam siri terakhir kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini.

Pada PRU-15, Maximus akan mempertahankan kerusi Parlimen itu untuk penggal ketujuh berturut-turut tanpa kalah.

Dengan tempoh berkempen kurang daripada 24 jam, beliau menyeru rakyat Sabah untuk terus menyokong calon-calon GRS-BN.

Menurut beliau, sepanjang dua minggu berkempen, pihak lawan kerap menggunakan isu kekurangan pembangunan dan masalah kesihatannya untuk meraih undi namun, Maximus yakin sokongan rakyat terhadapnya tidak akan goyang.

“Jangan terpedaya dengan janji dan tipu helah pembangkang. Mereka hanya sekadar memberi gula-gula kosong kepada rakyat, pilihan yang salah akan menyebabkan rakyat Sabah berada dalam kesukaran bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Maximus akan berhadapan pertembungan enam penjuru di kerusi Parlimen Kota Marudu bagi menentang calon lawan iaitu Datuk Wetrom Bahanda dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Jilid Kuminding dari Parti Warisan (Warisan), Mohd. Azmie Zulkiflee dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Shahrizal Denci dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Norman Tulang (Bebas).- UTUSAN

The post Undi calon GRS-BN untuk bawa pembangunan di Sabah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *