KUALA LUMPUR: Unit Keselamatan dan Kesihatan Bahagian Pengurusan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini memulangkan semula dompet berisi wang tunai RM2,000 kepada seorang lelaki selepas ia ditemukan oleh seorang peguam di tandas awam kompleks mahkamah.

Beg duit yang turut mengandungi barang-barang berharga termasuk kad pengenalan, kad bank dan kad kredit selain telefon bimbit, ditemukan oleh peguam itu dalam tandas lelaki kira-kira pukul 3.30 petang.

Peguam berkenaan kemudian menyerahkan beg tersebut kepada anggota Rela, Tuti Sakka yang ketika itu bertugas di kaunter keselamatan di lobi utama berhadapan pintu masuk kompleks mahkamah.

Menurut Pembantu Tadbir Operasi unit tersebut, S. Sharmila, beliau yang ketika itu turut berada di kaunter berkenaan kemudian membuka beg duit itu dan memeriksa kad pengenalan pemiliknya yang hanya dikenali sebagai Foo Yong.

“Saya memeriksa kad pengenalan dalam beg duit itu terlebih dahulu bagi memastikan wajah pemiliknya dan bila dia datang ke kaunter bertanyakan barang-barangnya, saya dapat pastikan dia orangnya.

“Saya juga bertanyakan namanya dan daripada situ saya mengesahkan dia pemilik beg duit berkenaan,” jelas Sharmila ketika menjelaskan kejadian tersebut melalui WhatsApp.

Kata kakitangan mahkamah itu, pemilik tersebut datang ke kaunter keselamatan selepas beberapa minit peguam tersebut menyerahkan barangan yang ditemukannya. – UTUSAN

The post Unit Keselamatan mahkamah serah semula dompet kepada pemilik ‘keciciran’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *