MANCHESTER: Manchester United bersedia melepaskan ketua pasukan, Harry Maguire pada musim panas depan walaupun terpaksa menanggung kerugian besar.

Keputusan melepaskan pemain yang pernah mencatat rekod termahal dunia itu dibuat tiga tahun selepas perpindahannya ke Old Trafford bagi membiayai rombakan pasukan.

Pertahanan tengah itu bergelut untuk mengulangi ­prestasi hebat ketika bersama Leicester City, yang mendorong Red Devils membe­linya pada harga 85 juta pound (RM465.52 juta) pada 2019.

Prestasi Maguire di awal musim ini membuatkan pengurus United, Erik ten Hag menggugurkannya daripada kesebelasan utama.

Pengendali dari Belanda itu dilaporkan bersedia menamatkan khidmat Maguire di Old Trafford menjelang akhir musim ini.

Berita tersebut datang beberapa hari sebelum kempen Piala Dunia bermula di Qatar, di mana Maguire dijangka menjadi pilihan utama pengurus England, Gareth Southgate.

HARRY MAGUIRE

Selepas menjadi kapten di bawah Ole Gunnar Solskjær, yang menandata­nganinya dari Leicester pada, dia hanya memulakan satu perlawanan Liga Perdana di bawah Ten Hag sejak kekalahan 1-2 kepada Brighton dan 4-0 di Brentford dalam dua aksi pertama liga.

Gandi­ngan Raphael Varane dan Lisandro Martinez serta ­Victor Lindelof lebih digemari oleh Ten Hag.

Kemerosotan prestasi yang dialami United tidak memungkinkan mereka menjual pemain berusia 29 tahun itu pada harga sama ketika mereka membelinya.

Malah, Maguire juga tidak mungkin dapat menikmati gaji tinggi 190,000 pound (RM1.1 juta) seminggu seperti yang diterima ketika ini.

Selain Maguire, yang akan tamat kontrak pada 30 Jun 2025, Ten Hag juga bersedia melepaskan Fred apabila kontrak pemain tengah itu tamat Jun tahun depan.

Ten Hag kagum dengan Fred tetapi dia berminat untuk merombak bahagian tengah di mana hanya Casemiro telah terbukti menjadi pemain kelas atas yang konsisten.

Fred telah ditandatangani oleh Jose Mourinho pada 2018 dengan harga 52 juta pound (RM281 juta) dan pemain berusia 29 tahun itu telah disenaraikan dalam skuad Piala Dunia Brazil. – AGENSI

The post United sedia jual Maguire walaupun rugi besar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *