PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan penyusutan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak tiga peratus kepada RM1.9 bilion pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding RM2 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia sejajar dengan margin yang lebih rendah dan sumbangan yang kurang daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu.

Bagaimanapun, PCB merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 22 peratus kepada RM7 bilion pada suku tinjauan berbanding RM5.8 bilion suku sama tahun lalu, didorong harga produk yang lebih tinggi berikutan dolar Amerika Syarikat (AS) yang kukuh, ditambah dengan peningkatan  jumlah jualan.

Perolehan sebelum faedah, percukaian, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pula menurun sebanyak tujuh peratus kepada RM2 bilion berbanding RM2.1 bilion pada 2021 disebabkan penyebaran produk yang lebih rendah. 

Margin EBITDA menurun kepada 28 peratus pada suku tersebut berbanding 37 peratus pada suku ketiga 2021.

Bagi sembilan bulan pertama pula, pendapatan kumpulan meningkat sebanyak 26 peratus kepada RM20.2 bilion, manakala PAT naik sebanyak 11 peratus kepada RM5.8 bilion, berbanding tempoh sama 2021.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, harga produk kekal tinggi pada suku tinjuan dengan sokongan harga minyak mentah dan tenaga yang tinggi, walaupun lebih rendah berbanding suku kedua 2022. 

Katanya, jumlah pengeluaran dan jualan turut bertambah baik pada suku ini dengan kadar penggunaan loji syarikat yang telah meningkat sebanyak 97 peratus daripada 72 peratus pada suku kedua.

“Dianggarkan 70 peratus daripada jumlah pengeluaran PCG dieksport ke rantau Asia Pasifik, di mana Asia Tenggara merangkumi kira-kira 40 peratus.

“Walaupun pengukuhan nilai dolar AS membantu meningkatkan pendapatan, kami menghadapi tekanan margin akibat kos operasi yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

The post Untung bersih PCG suku ketiga susut 3 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *