PUTRAJAYA: Majikan di seluruh negara yang amat memerlukan pekerja asing dijangka dapat menikmati proses pengambilan lebih pantas dengan sasaran tempoh cuma 30 hari.

Demikian jaminan disuarakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang akhbar khas bersama-sama Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

“Bayangkanlah dulu makan masa berbulan-bulan malah untuk buat iklan pekerja asing pun lebih sebulan tetapi selepas ini kita sasar selesai dalam masa 30 hari sahaja,” katanya.

Terdahulu, mereka berdua mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di Kementerian Sumber Manusia (KSM) di sini hari ini susulan keputusan Kabinet pada 7 dan 21 Disember tahun lepas memutuskan agar dibuat semula penjajaran pengurusan dan kewajaran kelonggaran bersesuaian demi memacu kembali pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

Tiga kertas cadangan telah dibentang yang meliputi pelarasan fungsi dengan diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), kelonggaran prosedur dan unjuran sebenar pekerja.

Isu berkenaan disifatkan pihak majikan sebagai amat kritikal terutama sektor perladangan yang dilapor terdesak memerlukan kira-kira sejuta pekerja tambahan di estet kelapa sawit.

Mengulas lebih lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan menyedari rintihan pelbagai sektor dan berharap tempoh waktu proses yang amat panjang sebelum ini akan boleh dipercepatkan.

“Kita lihat sebenarnya ada banyak ruang yang boleh dipendekkan dan semua agensi terlibat telah diarah untuk kemuka cadangan dalam masa terdekat bagi pelaksanaan,” katanya.

Ditanya bilakah perkara tersebut akan mula dilakukan, beliau menjangkakan isu itu akan dapat dimuktamadkan dalam suku pertama tahun ini dan tidak boleh dilewatkan lebih lama.

KSM juga diberikan peranan dalam isu memperkasakan tenaga asing daripada 15 negara sumber selain memudah cara urusan berkaitan terutama kelulusan kuota mengikut sektor.

Pada masa sama, KDN ujar beliau akan memastikan aspek kedaulatan undang-undang dimantapkan serta menjamin semua pekerja asing dilindungi hak mereka secara saksama.

Beliau berharap kemasukan lancar tenaga luar itu akan memacu ekonomi negara dengan peningkatan disasarkan kira-kira satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. – UTUSAN

The post Urusan pekerja asing dipermudah, sasar 30 hari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *