SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memberi amaran supaya tidak menularkan berita palsu berkaitan kes tanah runtuh di Templer menghala Selayang, semalam.

Perkara itu susulan tular rakaman suara kononnya kejadian baru berlaku sedangkan ia dilaporkan pada Disember 2021.

Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerusi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi berkenaan pukul 6.10 petang.

“Bagaimanapun, tiada kejadian tanah runtuh di lokasi dimaksudkan, namun hanya melibatkan kerja pembinaan dekat cerun di lereng bukit. Pelaksanaan kerja itu dijalankan kontraktor di lokasi berkenaan,” katanya.

Tegas beliau, pihaknya memandang serius perbuatan individu tidak bertanggungjawab seumpama itu.

“Tindakan menularkan berita palsu akan memberi kesan kepada semua pihak sekaligus akan menimbulkan suasana panik kepada masyarakat.

“Saya meminta perbuatan sebegitu dihentikan dan tindakan tegas boleh dikenakan ke atas mereka yang didapati melakukannya,” ujarnya.

Tambah Norazam, orang ramai tidak sepatutnya bertindak menularkan sesuatu yang belum dipastikan kesahihannya.

“Mereka harus semak dahulu dengan pihak berwajib seperti bomba atau polis bagi memastikan kejadian itu berlaku atau sebaliknya,” tegasnya.

Terdahulu, tular rakaman suara mendakwa berlaku tanah runtuh yang mengakibatkan jalan berkenaan tidak boleh dilalui kenderaan. – UTUSAN

The post Usah tular berita palsu tanah runtuh – Bomba Selangor appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *