PERCUBAAN untuk memikat cita rasa orang ramai terutama berkaitan selera makanan bukan mudah, apatah lagi dalam masa yang sama perlu bersaing dengan jenama lain yang sudah bertapak lama dalam pasaran.

Namun, itu semua bukan satu halangan bagi Pengasas bersama Arwaa Food Enterprise (Arwaa Food), Hadi Kaderi yang menyifatkan ia sebagai satu cabaran yang perlu ditempuhi.

Hasilnya, kini produk Mee Kari Opah mendapat sambutan di pasaran dan sering kehabisan stok sehingga terpaksa mencari strategi baharu bagi meningkatkan pengeluaran.

“Antara cabaran awal ketika mula-mula menceburi bidang ini ialah bagaimana kita mahu memastikan produk yang kita hasilkan ini dapat memenuhi selera masyarakat.

“Jadi, kami melakukan pelbagai penambahan dan juga mengolah rasa beberapa kali tanpa jemu. Paling penting kami dalam masa mahu mengubah persepsi segelintir pihak yang melihat produk segera tidak berkhasiat. 

“Sebab itu kami letakkan campuran kurma, kismis dan safron untuk menjadikan ia sebagai makanan berkhasiat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain itu tambah Hadi, walaupun ia berkonsepkan makanan segera, rasa dan tekstur mi dan kuah kari untuk produk Mee Kari Opah itu berjaya mengatasi jenama lain yang berada di pasaran.

Jelasnya, selepas setahun berdepan pelbagai pengalaman dalam dunia perniagaan, syarikat itu terus berjaya mengukuhkan produk di pasaran negara ini.

“Apa yang penting jangan cepat putus asa. Kita perlu tahu apa kehendak orang ramai, bukannya hanya ikut apa yang kita suka.

“Selain itu, sentiasa belajar dan berusaha untuk meningkatkan diri dalam bidang yang diceburi,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hadi berkata, beliau yakin jualan produk syarikat miliknya mampu bertambah sehingga enam kali ganda berdasarkan permintaan permintaan.

“Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan. Rata-rata pelanggan yang telah mencuba Mee Kari Opah pasti akan membelinya lagi.

“Paling terharu ada yang menguar-uarkan kepada rakan atau saudara mara berkenaan produk kami,” ujarnya.

Tambah Hadi, dia yakin jualan produknya mampu meningkat tiga kali ganda pada tahun ini selepas melihat sambutan baik daripada orang ramai.

“Berdasarkan rekod kejayaan syarikat pada pertengahan bulan lalu, kami berjaya mencatat jualan sehingga 15,000 kotak dalam masa sejam sahaja melalui platform media sosial,” jelasnya.

Selain Hadi, tiga lagi pengasas bersama syarikat adalah Nizar Hafiz, ­Nadzmi Adhwa dan Ardell Ar­yana.

Jenama Mee Kari Opah yang telah dibangunkan melalui kajian dan pembangunan ini ditawarkan pada harga RM19.90 sekotak yang mana di dalam kotak tersebut mengandungi lima peket mi. – UTUSAN

The post Usaha tanpa jemu demi kejayaan Mee Kari Opah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *