GEORGE TOWN: Seramai 16 individu termasuk pendakwah bebas popular, Datuk Mohd. Kazim Elias tidak memiliki tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Selain beliau, penceramah lain ialah Ahmad Dusuki Abdul Rani; Shaharudin Ibrahim; Datuk Ahmad Husam Baderudin; Wan Hizam Abdullah Sabil; Yusni Mat Piah; Shahrir Long dan Sobri Arshad.

Turut tidak mempunyai tauliah mengajar MAINPP ialah penceramah Aiman Subri; Afnan Hamimi Taib Azamudden; Prof. Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle; Salman Ali; Maulana Fakhrurrazi; Mohd. Rizal Azizan; Halim Hassan dan Dr. Abdullah Yassin.

Sehubungan itu. Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, pihak penganjur dilarang menjemput 16 individu berkenaan untuk menyampaikan ceramah kerana ketiadaan tauliah mengajar MAINPP.

“Pihak pentadbiran MAINPP telah menerima aduan daripada orang awam dan mendapati 16 individu ini tidak memiliki tauliah mengajar.

“Pihak penganjur dilarang daripada menjemput mereka untuk menyampaikan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zakiyudin, mana-mana pihak yang gagal mematuhi perkara itu boleh dikenakan hukuman penjara atau denda mengikut undang-undang sedia ada.

Jelas beliau, kedua-dua pihak boleh dikenakan tindakan yang mana penceramah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Ini kerana, mereka telah melanggar Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang (EKJSNPP) 1996 iaitu mengajar agama tanpa tauliah dan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang (EPAINPP) 2004 kerana mengajar agama Islam atau apa-apa aspek tentang Islam tanpa tauliah,” katanya.

Dalam pada itu tambahnya, bagi penganjur pula boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali kerana melanggar Seksyen 43(penyubahatan) yang dibaca bersama Seksyen 11 EKJSNPP 1996 iaitu bersubahat menganjurkan program melibatkan penceramah tanpa tauliah.

“Larangan ini dikuatkuasakan bertujuan memastikan kesemua penceramah menghormati dan mematuhi kehendak-kehendak perundangan syariah berhubung pentauliahan.

“Ia bertujuan memastikan penceramah yang selayaknya menyampaikan ilmu-ilmu yang bertujuan menyatupadukan dan tidak menimbulkan apa-apa kekeliruan dan perselisihan pandangan yang boleh menjejaskan keharmonian sesama jemaah masjid dan ahli kariah,” katanya. – UTUSAN

The post Ustaz Kazim antara 16 penceramah tiada tauliah mengajar di Pulau Pinang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *