TUMPAT: Pendakwa terkenal Mohamad Wadi Annuar Ayub atau Ustaz Wadi melalui Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda yang dipimpinnya menyerahkan sumbangan berupa  barangan keperluan kekal bernilai RM200,000 kepada penduduk yang terjejas dengan banjir pada Disember lalu.

Bantuan itu melibatkan 541 keluarga dari beberapa buah kampung di sekitar Pengkalan Kubor iaitu Kampung Kajang Sebidang, Teluk Jering, Kampung Dalam Kota dan Kampung Palas Merah.

Ustaz Wadi Annuar berkata, bantuan yang diagihkan  ini merupakan kali pertama di sumbangkan pihaknya kepada penduduk Kelantan sejak ia tubuhkan setahun lalu.

Menurutnya, kesemua bantuan yang diagihkan kepada penerima ini adalah hasil sumbangan orang ramai menerusi Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda.

“Mereka yang layak menerima berdasarkan data yang diberikan dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kajang Sebidang/Teluk Jering.

“Kita prihatin dengan nasib mereka yang kebanyakan sebelum ini hanya menerima bantuan makanan sahaja. Dengan sumbangan tilam dan dapur dapat meringankan beban,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan pasca banjir di sini hari ini.

Ustaz Wadi Annuar memberitahu, pemilihan Kelantan dibuat memandangkan ramai penduduk yang terkesan dengan banjir berbanding dengan negeri lain.

Katanya, sumbangan yang sama akan diberikan kepada mangsa banjir di negeri lain bergantung kepada dana yang diperolehi selepas ini.

“Untuk makluman, sebelum ini bantuan yang sama pernah diberikan oleh Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda di Selangor dan Pahang,” ujarnya.-UTUSAN

 

The post Ustaz Wadi Annuar sumbang RM200,000 bantu mangsa banjir di Tumpat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *