KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masih belum membuat sebarang keputusan siapa yang bakal dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita sejurus selepas menghadap Seri Paduka memberitahu, Yang di-Pertuan Agong memberikan tempoh masa untuk gabungan parti mewujudkan kerajaan perpaduan.

Terdahulu Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dititah Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Tiada apa-apa keputusan lagi setakat ini,” demikian penjelasan  Anwar di luar Istana Negara mengenai siapa bakal menduduki kerusi empuk Perdana Menteri ke-10.

Anwar kira-kira pukul 5 petang tadi mengadakan satu sidang akhbar ringkas sejurus selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa sama, beliau berkata, Seri Paduka menitahkan bahawa wujud keperluan agar kerajaan yang terbentuk selepas PRU15 adalah kerajaan yang kukuh.

“Perlu ada kesepakatan, kerjasama semua pihak supaya kerajaan ini lebih kukuh, boleh tumpu perhatian menjaga kepentingan rakyat dan memulihkan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

 

The post Usul kerajaan perpaduan, Agong buat keputusan – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *