NEW DELHI: Satu video memaparkan kejadian seekor badak sumbu dirempuh sebuah lori yang sedang bergerak laju di sebatang jalan di taman negara di India, tular dalam media sosial.    

Lapor Daily Mail, pelanggaran itu berlaku ketika badak sumbu itu cuba melintas jalan dengan berlari ke arah lori berkenaan di kawasan Taman Negara Kaziranga di Assam.  

Dalam rakaman video tersebut, haiwan itu dilihat berlanggar bahagian tepi kenderaan yang sedang bergerak sehingga menyebabkan badannya berpusing sebelum terhempas ke jalan.

Bagaimanapun, badak sumbu itu sempat bangun dan berjaya lari masuk ke kawasan hutan berhampiran dengan selamat.

Video itu dimuat naik oleh Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma pada 9 Oktober lalu.

Sementara itu, Sarma mengesahkan pemandu lori itu sudah dikenakan denda atas kesalahan memandu laju.

“Badak sumbu perlu dilindungi dengan baik dan kami tidak akan membenarkan sebarang insiden tidak diingin berlaku di kawasan mereka.

“Haiwan itu terselamat dalam kejadian yang berlaku di Haldibari. Pemandu lori sudah dikenakan hukuman,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

The post Video badak sumbu dirempuh lori, tular appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *