KUALA LUMPUR: Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam berhimpun secara aman berhampiran Istana Negara, hari ini.

Kumpulan itu yang terdiri 30 individu mendakwa mewakili lebih 50 NGO Melayu dan Islam itu hadir membawa kain rentang tertera tulisan ‘Daulat Tuanku! Mohon Dengar Rintihan Ummah’, sambil melaungkan takbir beberapa kali.

Jurucakap kumpulan itu, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata. mereka hadir untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung kemelut pembentukan kerajaan ketika ini.

Memorandum itu antara lain bagi memohon perkenan Seri Paduka mengangkat Perdana Menteri daripada gabungan politik yang mendapat undi terbanyak orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus menyelesaikan isu berkenaan.

“Keputusan PRU15 menjadi manifestasi kemahuan orang Melayu bumiputera mengangkat kepemimpinan Melayu yang bersih dan stabil, sekali gus beralih kepada gabungan yang membawa aspirasi itu.

“Kami berharap Tuanku tidak membiarkan suara pemimpin Melayu Islam dan Bumiputera menjadi minoriti di bawah kerajaan naungan Tuanku,” katanya.

SEKUMPULAN NGO Melayu dan Islam berhimpun secara aman berhampiran Istana Negara, hari ini.

Kata Mohd Ashraf Mustaqim, kerajaan sewajarnya sudah dibentuk dan pembentukan ini perlulah disegerakan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan atas budi pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

“Ia berikutan masa yang panjang diambil mampu menjejaskan kestabilan atas faktor sosio dan ekonomi masyarakat,” jelasnya.

Katanya, pihaknya tidak dapat menyerahkan memorandum berkenaan kepada Istana Negara buat masa ini.

“Istana Negara tidak terima memorandum ini kerana mahu memberi tumpuan terhadap isu pembentukan kerajaan,” katanya. – UTUSAN

 

The post [VIDEO] NGO serah memorandum mohon lantik PM peroleh undi majoriti Melayu  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *