PETALING JAYA: Pengendali Vietnam, Park Hang-seo me­ngakui, tindakan Malaysia ­melakukan lapan pertukaran ketika menentang Laos membuatkan mereka keliru, yang mana satu skuad utama Harimau Malaya.

Hang-seo yang melatih ­Vietnam sejak 2017 berkata, dia juga amat teruja untuk berdepan Malaysia di bawah bimbingan Kim Pan Gon buat kali pertama dalam aksi Piala AFF di Hanoi malam ini.

“Melihat barisan pemain Malaysia dalam dua aksi terakhir, jika anda tidak berhati-hati, anda tidak akan tahu yang mana pasukan utama.

“Pada pendapat saya, skuad utama mereka adalah yang menentang Myanmar.

“Bertemu Laos, mereka me­nggantikan lapan pema­in. Mungkin Kim mahu mengekalkan pemain itu untuk bertemu Vietnam, tapi mungkin mereka yang bermain baik menentang Laos akan berpeluang.

“Sejak Kim mengambil alih Malaysia, mereka bermain agak baik. Penggunaan sistem 3-4-3 hanyalah pilihan.

 

“Pasukan Malaysia bermain dengan kelajuan sangat tinggi, pemain sayapnya sangat laju dan sering mengerahkan bola terus ke gawang,” kata Hang-seo yang amat mengenali Pan Gon kerana kedua-duanya berasal dari Korea.

Malaysia hanya mengekalkan Faisal Halim, Safawi Rasid dan Sharul Nazeem Zulpakar ketika membelasah Laos 5-0 di Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Mereka merehatkan lapan tonggak yang menewaskan ­Myanmar 1-0 pada aksi pertama.

Sementara itu, tidak berhasrat untuk menyentuh tentang jurulatih lawan, namun Hang-seo mengakui, pertembungan dengan Malaysia pada perlawanan Piala AFF malam ini sesuatu yang mengujakannya kerana bakal bertemu rakan ‘sekampung’, Pan Gon. 

Hang-seo yang melatih Vietnam sejak 2017 berkata, dia cukup mengenali Pan Gon biarpun pada mulanya tidak begitu memahami falsafah bola sepak jurulatih Malaysia itu. 

“Saya rasa tidak sopan untuk bercakap tentang jurulatih pasukan lain, namun saya juga tahu tentang Jurulatih Kim.  Falsafahnya dalam bola sepak tidak begitu jelas kepada saya tetapi dia berasal dari kampung halaman sama dengan saya. 

“Apabila Saya bermain dan kemudian menjadi jurulatih.. Kim pergi ke Hong Kong untuk bermain, dan kemudian kembali ke Korea bekerja sebagai jurulatih dalam pasukan profesional Korea. 

“Begitupun, kebanyakan masanya adalah di Hong Kong, jadi bahasa Inggerisnya sangat baik,” cerita Hang-seo.

The post Vietnam keliru mana satu pasukan utama Harimau Malaya appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *