SELAIN kontroversi dan pelbagai episod menggemparkan industri hiburan, 2022 juga meninggalkan pelbagai catatan manis buat penggiat seni yang tidak pernah mengalah dalam perjuangan masing-masing.

Hits meng­imbau detik kejayaan insan seni yang menyinar sepanjang 2022, malah mampu mengukir senyuman bangga dengan pelbagai pencapaian yang dilakar.

Antara selebriti yang mengukir permulaan mem­banggakan dalam kerjaya seni mereka adalah pasangan pelakon, Meerqeen dan Anna Jobling. Gandingan mereka mencetus fenomena menerusi drama rantaian, Melur Untuk Firdaus.

Tidak hanya meniti di bibir peminat drama tempatan, populariti mereka turut menjalar di Indonesia dan Brunei Darussalam, impak drama yang ditayangkan di TV3 bermula 27 Mei lalu. Bakat mereka turut diintai produksi luar, terutama Indonesia untuk bekerjasama dalam pelbagai produksi.

Populariti yang diraih juga menyaksikan Meerqeen dan Anna berada dalam individu paling tinggi carian di Google bagi 2022.

Lakonan Ummi Nazeera menerusi naskhah Risik Pada Hati menjadi sebutan ramai apabila watak Hayfa meninggalkan impak mendalam di hati penonton drama arahan Pali Yahya itu.

Persembahan luar biasa Ummi menerima pujian ramai, malah dialog dan lakonannya dalam drama tersebut turut menjadi pilihan pengguna di aplikasi TikTok sebagai parodi dan seterusnya tular.

Ummi sekali lagi memberikan persembahan cemerlang dalam drama Rindu Kasih yang mengganding­kannya bersama Izzue Islam, Fazlina Ahmad Daud, Ezzaty Abdullah dan Amyza Aznan.

Drama yang turut diarahkan Pali itu meletakkan Ummi sebagai antara pelakon yang kemunculannya sentiasa dinanti khalayak. Malah, ramai meramalkan peluang mudah Ummi untuk merangkul anugerah menerusi watak Salina yang dibawakannya dengan begitu cemerlang.

Dari sudut pengarahan, sudah tentu ‘takhta’ tersebut dipegang anak lelaki Datuk Yusof Haslam.

Siapa lagi kalau bukan Syamsul Yusof yang menjadi bualan menerusi filem epik arahannya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Kutipan RM97 juta sepanjang tempoh tayangan, Syamsul membuktikan potensi dirinya sebagai pengarah muda untuk membawa industri filem tempatan ke tahap lebih membanggakan.

Kejayaan filem itu turut memberi tempias kepada Datuk Adi Putra yang mengunci kedudukannya sebagai antara pelakon terlaris pada tahun ini. Selain mendapat pujian ramai menerusi Mat Kilau,

Adi juga menyerlah dalam naskhah Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang turut mencatat kutipan membanggakan pada 2022.

Selain itu, pujian juga wajar dilayangkan kepada Alvin Chong yang mengukuhkan posisinya dalam industri hiburan apabila merangkul Anugerah Persembahan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Digital.

Alvin menerima anugerah itu sempena penganjuran Anugerah Televisyen Asia Ke-27 yang berlangsung di Manila, Filipina, 1 Disember lalu. Kejayaan itu membuka ruang kepada Alvin untuk mengintai peluang melebarkan pengaruhnya di negara asing.

Bakat pelakon remaja, Idan Aedan, turut menjadi bualan apabila berjaya meletakkan dirinya sebagai pelakon bertaraf antarabangsa dengan membintangi drama bersiri untuk saluran popular, Netflix.

Dalam siri berjudul Mr. Midnight: Beware The Monsters, Idan bergandingan dengan pelakon popular Indonesia, Adinia Wirasti dan Maxime Bouttier. Idan juga dapat bekerjasama dengan pelakon Caleb Monk, Chen Yixin dan Nikki Dekker dari Australia.

Shila, Aina terus menyinar

DALAM bidang muzik, antara nama yang menyerlah sepanjang 2022 adalah penyanyi Shila Amzah. Pernah terpalit kontroversi dengan pihak media selama lapan tahun, namanya kembali memuncak apabila satu persatu ukiran kerjayanya mula diperkatakan.

Tahun 2022 juga menyaksikan Shila bangkit daripada episod pahit dan kembali fokus kepada kerjaya. Langkahnya menjadi apabila Shila melakar pelbagai kejayaan manis untuk dikenang sebelum 2022 menutup tirainya.

Selain gandingannya bersama Sekumpulan Orang Gila (SOG) menerusi Pelukan Angkasa dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-36 (AJL36), Shila juga memenangi The Masked Singer Malaysia musim kedua.

Lagu duetnya bersama Liza Hanim, Bahagiakan Dia dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu dan Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama, Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23).

Beberapa tahun kebe­lakangan ini, nama penyanyi Aina Abdul sentiasa tersenarai dalam sorotan tahunan. Aina kekal menyerlah dan selesa pada kedudukan tersendiri. Seakan tidak tergugat, Aina terus cemerlang, termasuk merangkul trofi Vokal Terbaik, AJL36 menerusi Sepi.

Selain itu, Jaclyn Victor juga antara penyanyi yang melakar kejayaan membanggakan, terutama apabila membuat keputusan menyertai program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).

Langkahnya ternyata menjadi apabila dia muncul sebagai juara.

Turut menyerlah, pelakon dan usahawan, Fazura yang mencipta fenomena tersendiri menerusi penganjuran konsert sulung, Faztival Fazura 2022.

Isteri pelakon Fattah Amin ini melakar sejarah apabila konsert itu tersenarai dalam Malaysia Book of Records menerusi pengiktirafan sebagai Perhimpunan Terbesar ‘Tudung Fazura’ Dalam Sebuah Acara dan Perhimpunan Tudung Bawal Terbesar di Malaysia.

Bakal melangkah ke tahun baharu, diharapkan 2023 mampu menyuntik semangat kepada penggiat seni dan industri kreatif untuk terus meletakkan Malaysia berdiri sama tinggi dengan industri seni antarabangsa.

The post Wajah-wajah yang menyerlah 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *