SAUDARA PENGARANG,

SAYA kerap mendengar laungan seperti “Undi orang muda akan merubah negara” dan “Undi orang muda akan mengubah kepimpinan negara.” Namun, sejauh manakah slogan ini memainkan peranan lantas memberi kesan dalam mengubah dominasi orang tua dalam struktur kepimpinan negara?

Maka hadirlah figura seumpama Sanna Marin, 34, yang diangkat sebagai Perdana Menteri Finland; Jacinda Ardern, 37, yang diangkat sebagai Perdana Menteri New Zealand dan Emmanuel Macron, 39, dilantik sebagai Perdana Menteri Perancis.

Jika kita renung melalui kaca mata dunia, suara anak muda tidak pernah dibungkam serta kudratnya haruslah dikerah untuk membangunkan negara dan bukannya menyekat suaranya.

Kalau di Malaysia, anda sudah terbayangkan siapa? Bolehkah anda senaraikan? Wajar atau tidak pemimpin seusia itu memberikan nafas baharu dalam dinamika politik negara kita? Belum cuba belum tahu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan kira-kira 1.2 juta pemilih berumur sekitar 18 hingga 20 tahun melalui pewartaan daftar pemilih tambahan pada Mei lalu.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengumpulkan sejumlah pengundi yang begitu ramai walaupun tidak mendominasi. Ketahuilah bahawa kehadiran mereka sangat signifikan dalam menentukan masa depan negara.

Semasa PRU14, pertembungan antara calon yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil di Terengganu sangat sengit. Jumlah undian mereka hanya berbeza empat undi.

Keputusan keseluruhan adalah calon Pas menang 8,132 undi secara rasmi mengalahkan calon Barisan Nasional (8,128 undi) dan PKR (679 undi). Kalau kita teliti, perbezaan tersebut sangat tipis, ia jarang berlaku di kawasan pilihan raya lain.

Namun begitu, senario ini memberikan kita satu titik tolak bahawa keberadaan setiap rakyat penting dalam menjalankan tanggungjawab sebenar semasa pilihan raya berlangsung.

Jangan pernah merasakan satu undi yang kita berikan tidak bermakna walaupun tinggal di luar negara. Peranan anda sangat penting dalam memastikan pentadbiran negara diperintah oleh orang yang kompeten dan mempunyai meritokrasi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Satu undi penentu hidup anda!-UTUSAN

PROFESOR DR. HANIM SALLEH dan LUTHFI YUSRI
Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Ketua Operasi Projek Ajar Demokrasi

The post Walau satu undi mampu ubah corak hidup kita appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *