PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor hilang dilarikan penjenayah.

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Ya kita ada terima laporan polis dan siasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya ringkas.

Utusan Malaysia difahamkan, wang berkenaan baru sahaja dikeluarkan oleh pengetua sekolah terlibat sebelum cermin kenderaannya dipecahkan ketika pergi membeli minuman.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, pengetua berkenaan mengeluarkan wang bantuan awal persekolahan  dari sebuah bank di pekan Semenyih yang sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya esok.

Sejurus selepas mengeluarkan wang berkenaan, dia menuju ke arah kenderaannya yang terletak kira-kira 30 meter dari bank.

Difahamkan, wang itu diletakkan di bawah kerusi penumpang hadapan.

Dia kemudian ke kedai makanan bersebelahan bank untuk membeli minuman.

Namun sebaik sahaja tiba semula di kenderaannya, didapati cermin bahagian penumpang pecah dan wang telah hilang. – UTUSAN

The post Wang bantuan awal persekolahan RM100,000 dilarikan penjenayah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *