MANILA: Seorang wanita dari China berjaya melarikan diri selepas didakwa diculik dan dikurung dalam sangkar anjing selama 20 hari di Filipina.

Lapor Daily Mail, polis menyelamatkan wanita itu yang melarikan diri daripada penculik yang mengurungnya di sebuah rumah di Barangay Alangilan, bandar Batangas selama hampir tiga minggu.

Mangsa ditemukan di sebuah kedai serbaneka di Barangay Alangilan sebelum dibawa ke balai polis pada 6 Oktober lalu.

Terdahulu, teman lelaki mangsa membuat laporan polis selepas menerima rakaman video dihantar oleh suspek daripada nombor telefon tidak dikenali, yang memaparkan kekasihnya dipukul dengan kayu besbol.

Lelaki itu berkata, suspek kemudian menghubunginya meminta wang tebusan sebanyak AS$200,000 (RM940,397) untuk membebaskan teman wanitanya.

Polis menyerbu sebuah rumah yang menempatkan mangsa dan mendapati suspek sudah melarikan diri.

“Kami juga menemukan sangkar haiwan yang sempit dengan bantal dan baldi didalamnya, dipercayai tempat mangsa dikurung,” kata polis.

Beberapa media tempatan melaporkan wanita itu diculik ketika keluar bersama rakannya ke sebuah kelab di Angelas City, wilayah Pampanga pada 17 September lalu.     

Pasukan polis mengesahkan satu kes penculikan dilaporkan berlaku di bandar itu pada tarikh yang sama.

Teman lelaki mangsa mendakwa kekasihnya diculik oleh sekumpulan individu yang menaiki kereta Toyota Fortuner berwarna putih. 

Setakat ini, tidak dapat dipastikan bagaimana mangsa melepaskan diri daripada tahanan penculik dalam kejadian itu.

The post Wanita diculik, dikurung dalam sangkar anjing appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *