KUBANG PASU: Sangkaan dua lelaki tempatan kononnya kawasan kebun getah berhampiran sempadan negara tidak dikawal meleset apabila mereka ditahan tentera bersama tiga wanita warga Indonesia yang cuba meloloskan diri ke Thailand melalui jalan tidak sah. 

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan, penahanan lima individu tersebut dibuat kira-kira pukul 4.30 petang semalam. 

“Hasil maklumat risikan, pasukan operasi telah mengesan pergerakan sebuah motosikal mengiringi sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan menuju ke arah sempadan tanah air. Pasukan operasi kemudiannya bertindak menahan kedua-dua kenderaan tersebut. 

“Namun hanya kereta jenis Perodua Aruz sahaja yang dapat ditahan, manakala seorang lelaki yang mengiringi kenderaan tersebut menggunakan motosikal, sempat meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Tambahnya, pemeriksaan mendapati dua lelaki tempatan tersebut yang masing-masing berusia 38 tahun bertindak sebagai ‘transporter’ bagi membantu tiga wanita berkenaan merentas ke Thailand.  

“Semakan lanjut mendapati seorang wanita warganegara Indonesia itu memiliki dokumen perjalanan sah manakala dokumen seorang rakannya pula sudah tamat tempoh perjalanan. 

“Seorang lagi wanita Indonesia dalam kereta itu langsung tidak mempunyai sebarang dokumen. Kesemua wanita tersebut berusia antara 40 hingga 56 tahun,” katanya. 

Menurut kenyataan itu lagi, kesemua yang ditahan diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut. 

“Kereta Perodua Aruz tersebut turut dirampas bersama sebuah motosikal jenis Modenas Kriss Star. 

“Selain itu kami turut merampas lapan telefon bimbit, empat subang emas dan wang tunai mata wang Malaysia serta Indonesia. Secara keseluruhannya nilai rampasan berjumlah kira-kira RM65,100,” katanya. – UTUSAN

The post Wanita Indonesia cuba menyelinap ke Thailand ditahan tentera appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *