KLUANG: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori lima tan  di Kilometer 21, Jalan Simpang Renggam – Renggam berhampiran pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) Renggam, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Nizar Ma’mun berkata, kejadian pukul 7.33 malam itu melibatkan sebuah kereta Hyundai Atos dan lori Hino lima tan.

Susulan kejadian itu, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera FRT. 

“Sebaik tiba di lokasi anggota pasukan mendapati seorang wanita, iaitu Tasnim Nazatul Amiera Mohd. Nasrun, 21, tersepit di tempat duduk pemandu.

“Ketika dikeluarkan mangsa mengalami kecederaan dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan kesihatan yang datang membantu sejurus selepas kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut Mohd Nizar,  mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, manakala pemandu lori, Mohd. Suhaimi Samsudin, 42, tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd. Noh berkata,  siasatan awal mendapati lori dipandu Mohd. Suhaimi datang dari arah Simpang Renggam ke Renggam manakala mangsa dari arah bertentangan. 

Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, lori dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta mangsa.

“Akibat pertembungan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dirujuk ke Hospital  Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat. 

“Pemandu lori ditahan untuk ujian awal saringan air kencing dan didapati negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN

The post Wanita maut, kereta bertembung lori appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *