GEORGE TOWN: Seorang wanita warga emas cedera parah di bahagian muka serta mata akibat dipukul dengan objek tumpul ketika disamun dalam satu kejadian di kedai penapis air, di Jelutong, 24 Disember lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang berusia 50-an berada seorang diri di kedai berkenaan sebelum didatangi suspek lelaki berusia 50-an.

Difahamkan, suspek kemudian memukul mangsa menggunakan objek tumpul di bahagian muka sehingga mengakibatkan kecederaan parah.

Sehingga kini, mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V. Saravanan berkata, mangsa kerugian RM2,000 akibat disamun dan polis masih belum dapat mengambil keterangan mangsa kerana masih dirawat di ICU.

”Mangsa didatangi suspek di kedainya ketika suaminya tiada di situ, suspek pada mulanya memberitahu mahu bertemu dengan suami mangsa.

”Kemudian setelah dimaklumkan suaminya tiada di kedai, suspek bertindak memukul mangsa dan menyamun sehingga mangsa cedera parah di bahagian muka dan kerugian RM2,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Menurut Saravanan, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 50-an ditahan pada 25 Disember lalu kerana disyaki menyamun dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

”Pada masa ini, polis masih menyiasat dengan lanjut kes berkenaan di bawah di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

”Kedai berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), dan kami mohon agar saksi kejadian tampil membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

The post Wanita warga emas cedera parah disamun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *