KUALA PILAH: Seorang warga emas berusia 107 tahun di Kampung Kabung Inas, Johol teruja untuk sekali lagi mengundi pada 19 November ini namun mengakui faktor kesihatan yang kurang baik membataskan hasratnya itu.

Sulang Asan bagaimanapun berkata, dia sudah tidak mengingati berapa kali sudah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Pilihan raya yang lalu, saya keluar mengundi namun pada kali ini saya sudah tidak berapa kuat untuk berjalan kerana sakit lutut dan mata pula kabur. Saya sudah lupa berapa kali mengundi.

“Kalau ada peluang memang mahu memangkah undi Sabtu ini, tengok nanti bagaimana, selalunya ada yang membantu hantarkan ke pusat mengundi,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Sulang yang akan mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Inas, Johol di sini mempunyai 14 orang anak, 52 cucu dan 74 cicit dan kini dijaga oleh anaknya, Sahariah Duseh, 66, di rumahnya itu.

Sementara itu, Sahariah menjelaskan, ibunya mempunyai sakit darah tinggi, sakit lutut dan mempunyai masalah kabur penglihatan.

“Dia agak kurang selera makan. Nasi pun dia makan agak sedikit dan makanan kegemarannya adalah udang.

“Dia juga tidak banyak berjalan dan hanya berehat sahaja di rumah,” katanya yang merupakan anak ketujuh daripada 14 beradik itu.-UTUSAN.

The post Warga emas 107 tahun teruja mahu keluar mengundi lagi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *