KEMAMAN: Serik berdepan dengan kemusnahan harta benda akibat banjir, seorang warga emas di Kampung Tebak, Air Putih dekat sini, menggunakan idea kreatifnya membina rumah terapung.

Bekas pemandu lori, A. Bakar Che Ahmad, 67, berkata, idea tersebut timbul selepas dia dan isteri, Fatimah Salleh, 61, melihat reban ayam terapung rekaannya sejak 2018 berjaya menyelamatkan haiwan belaannya daripada hanyut setiap kali banjir melanda.

“Sebelum ini, pak cik dan isteri akan tinggal di bahagian atas rumah dan tak berpindah ke pusat pemindahan atas faktor kesihatan isteri dan keadaan pusat pemindahan yang tak selesa.

“Namun, rumah kayu kami lama kelamaan semakin usang. Jadi, bila tengok projek reban ayam terapung berjaya, timbul idea untuk buat rumah terapung dan ia dipersetujui anak-anak yang membantu pak cik mengeluarkan modal,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tebak, Air Putih dekat sini, semalam.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, dia mengambil masa kira-kira tujuh bulan membina rumah lengkap dengan lima buah bilik dan bilik air dengan anggaran kos RM47,000 menggunakan kayu serta menggunakan 69 biji tong plastik sebagai pelampung.

“Pak cik mula rangka rumah ini, bermula dari tapak sejak Februari lalu. Ketika itu, pak cik hanya letakkan 30 biji tong, memang ia rangka rumah tersebut dapat terapung ketika banjir awal tahun lalu, namun pak cik tambah lagi tong sebanyak 39 biji sebab bimbang tak dapat tampung berat kayu.

“Setiap aspek dan sudut, pak cik dah kaji. Tangga rumah pak cik tak bina kekal sebab ia akan menyukarkan rumah untuk terapung jika ada apa-apa yang tersangkut. Di bawah rumah juga, pak cik jarakkan tong supaya air dapat dialirkan,” katanya.

Bagi memastikan rumah tersebut tidak hanyut, A. Bakar berkata, dia membina dua batang tiang setinggi enam meter di kiri dan kanan rumahnya.

“Insya-Allah, rumah ini boleh terapung hingga lima meter. Pak cik berani ambil risiko buat rumah ini sebab biasanya air banjir di kawasan rumah pak cik tidak laju sebab rumah kami tidak terlalu hampir dengan sungai,” katanya yang menyiapkan rumah tersebut seorang diri. –UTUSAN

The post Warga emas bina rumah terapung persediaan banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *