LIPIS: Seorang pemandu lori maut setelah kenderaan dipandunya terbabas dan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Kampung Budu -Tualang Padang, Benta di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 4.35 petang itu, mangsa Johari Md. Jali, 70, yang beralamat di Kampung Sementeh, Lanchang, Temerloh dekat sini disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan mendapati kemalangan itu berlaku disebabkan lori jenis Rigid Dumper itu hilang kawalan semasa melalui jalan yang berselekoh serta menuruni bukit kawasan tersebut.

“Ketika kejadian mangsa yang memandu dalam perjalanan dari Lanchang membawa muatan tar untuk dihantar ke Kampung Kemahang, Benta.

“Ketika menuruni bukit berselekoh, lori dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan terbalik. Mangsa yang tersepit dan terperangkap di bahagian kepala lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan akibat cedera parah di kepala,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Azli, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana kecuaian mangsa ketika memandu dan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

“Bedah siasat untuk mengetahui punca kematian akan dilakukan selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh. Kejadian ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kemalangan ini berlaku di jalan selekoh, berturap, sistem laluan satu lorong dua hala, terdapat garisan tengah berkembar dan menuruni bukit, manakala keadaan cuaca cerah dan tidak hujan,” ujarnya. – UTUSAN

The post Warga emas maut lori dipandu terbabas, terbalik di Benta appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *