GUA MUSANG: Seorang warga emas Orang Asli yang demam panas di Kampung Jader, Pos Simpol di sini, dibawa ke Hospital Gua Musang menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), semalam.

Amek Kutid, 82, yang turut mengalami batuk dan bengkak kaki sejak tiga hari lalu terpaksa diusung untuk menaiki helikopter selepas tidak mampu untuk berjalan.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Hasrizal Kamaruzzaman berkata, penerbangan itu berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah pada pukul 12.45 tengah hari.

Menurutnya, penerbangan ihsan itu selamat mendarat di Kampung Jader pada pukul 1.47 tengah hari.

“Pada pukul 1.58 tengah hari pesawat berjaya mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan pesakit serta seorang pengiring dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

“Pesakit dilaporkan stabil selepas menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini  hari ini.

Mohd. Hasrizal memberitahu, penerbangan itu turut disertai oleh empat lagi anggota.

Katanya, pengangkutan helikopter terpaksa digunakan kerana jalan balak masih rosak serta dapat menjimatkan masa berbanding lebih lima  jam jika pesakit dibawa menggunakan jalan darat.-UTUSAN

 

The post Warga emas Orang Asli demam panas naik helikopter ke hospital appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *