BESUT : Seorang lelaki warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut di sini, hari ini atas tuduhan memberi maklumat palsu ketika cubaan mendapatkan kad pengenalan tempatan di daerah ini pada 1 Januari lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh yang berusia 54 tahun di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari.

Tertuduh didakwa memberi maklumat palsu dengan alasan kad pengenalan hilang akibat banjir ketika berurusan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Besut.

Lelaki itu ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Negeri pada 18 Januari dan didakwa di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM7,000 dan penjara 10 bulan dari tarikh jatuh hukuman sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh bagaimanapun menjelaskan bayaran denda tersebut dan kes itu akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan selanjutnya.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Negeri Terengganu, Norjannah Mariam Hanna Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

The post Warga Indonesia dituduh beri maklumat palsu appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *