SAUDARA PENGARANG,

CUTI semester menjadi detik paling seronok dan dinantikan oleh warga universiti termasuk pelajar, pensyarah dan kakitangan pentadbiran. Inilah waktunya untuk bersuka ria dan bergembira tanpa perlu memikirkan bebanan kerja. Oleh itu, merancang percutian untuk merehatkan minda, meluangkan masa bersama keluarga dan melakukan aktiviti menarik dapat menyegarkan fizikal dan mental sebelum menghadapi semester akan datang.

Namun begitu, perancangan yang tidak merujuk ramalan dan arahan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sering kali mengakibatkan risiko.

Hampir setiap tahun, ada sahaja kejadian mangsa terperangkap di kawasan terjadinya kepala air dilaporkan media. Hujan lebat dalam tempoh lama di hulu iaitu kawasan berbukit menyebabkan berlaku limpahan air sungai dan air terjun. Jumlah air akan tibatiba meningkat lebih cepat sekiranya terdapat halangan sampah sarap, kayu dan pokok yang tersangkut pada lintasan tersebut. Jumlah air besar ini terkumpul dan akhirnya menjadi fenomena kepala air yang amat deras, tinggi dan berbahaya kepada para pengunjung.

Kebarangkalian terjadinya fenomena kepala air di musim hujan adalah amat mungkin dan keterukan risiko boleh mencapai tahap major atau kematian. Oleh itu, skala impak risiko merujuk kepada jadual matriks risiko boleh mencapai sangat tinggi dan ekstrem.

Kaedah mitigasi boleh diambil oleh badan berwajib untuk pemetaan kawasan yang sering berlaku fenomena kepala air. Pemetaan ini penting dan boleh diuar-uarkan kepada penduduk serta pengunjung yang ingin bercuti melalui pelbagai cara seperti hebahan media, papan tanda atau siren kecemasan.

Selain itu, warga universiti yang datang bercuti dalam skala besar perlu membuat carian dan pembacaan melalui laman web sebelum berkunjung ke sesuatu lokasi. Sentiasalah berwaspada dengan pemilihan aktiviti yang ingin dijalankan dalam musim hujan.

Warga universiti yang peka mampu menjadi ejen perubahan kepada masyarakat. Ini sekali gus mendidik masyarakat supaya tidak alpa dalam keterujaan untuk bercuti dan beriadah. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya, bila berubah menjadi kepala air, turut mampu meragut nyawa.-UTUSAN

DR. NURUL FARIHA LOKMANĀ  & MOHD. RAFIZI RAHMAD
Institut Kepimpinan & Pembangunan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

The post Warga universiti disaran celik risiko musim hujan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *