PETALING JAYA: Polis masih belum dapat mengesan waris kanak-kanak lelaki ditemukan dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan, tangan, jari dan dahi di tepi jalan di Cheras Utama dekat sini pada 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, sehingga hari ini, usaha mengesan waris kanak-kanak berkenaan gagal walaupun beberapa usaha telah dilakukan.

Kata beliau, kanak-kanak berkenaan masih tidak boleh berkomunikasi dengan sempurna tetapi boleh menulis perkara asas pembelajaran huruf seperti ABC dan 123.

“Penterjemah warganegara asing juga telah dipanggil untuk berkomunikasi dengan mangsa semasa berada di hospital tetapi mangsa tidak memberikan sebarang respons yang positif untuk bercakap.

“Mangsa kini disahkan sihat dan stabil serta masih berada di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang, yang mana kini mangsa telah diserahkan di bawah penjagaan serta pemantauan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai pelindung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, pihak polis masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang mana sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak polis bersabit dengan kejadian itu.

“Pihak polis menyeru sekali lagi supaya orang awam atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini memaklumkan kepada pihak polis segera dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan.

“Mereka juga boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohd. Zaiyaudi Mohd. Yaakub di talian 019-5355395 bagi menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan lanjut,” jelasnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, kanak-kanak lelaki berkenaan ditemukan dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan, tangan, jari dan dahi di tepi jalan di Cheras Utama dekat sini. – UTUSAN

The post Waris kanak-kanak dipercayai mangsa dera masih belum jumpa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *