ALOR GAJAH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka akan membayar pencen penakat berjumlah RM847.60 kepada waris Lai Chee Sam, 33, mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali, Selangor baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, bayaran kepada bapa mendiang, Lai Hua Keong, 54, dan ibu, Chia Eet Loun, 51, bermula pada Januari untuk sepanjang hayat mereka.

Menurut beliau, semakan Perkeso mendapati, Chee Sam selaku orang berinsurans memenuhi syarat kelayakan penuh di bawah pencen penakat.

“Hasil lawatan Skuad Prihatin Perkeso Melaka mendapati Chee Sem masih mempunyai ibu bapa. Waris mangsa juga layak mendapat faedah pengurusan mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

“Bayaran FPM telah dibayar serta-merta pada 20 Disember lalu manakala bayaran pencen penakat akan dikreditkan secara bulanan kepada ibu bapa yang sah sepanjang hayat mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Skuad Prihatin Perkeso Melaka di Kampung Permai, Machap Umboo di sini, semalam.

Dalam kejadian 16 Disember lalu, Chee Sam bersama isteri, Lai See Tin, 33, dan dua anak mereka, Jonas Lai Ze Kai, 7, serta Giselle Lai Yu Xi, 2, terkorban dalam tragedi tersebut ketika sedang melakukan aktiviti perkhemahan.

Dalam pada itu, Pengarah Perkeso Melaka, Abd. Razak Omar mengingatkan majikan agar membuat caruman dengan Perkeso bagi setiap pekerja tanpa mengira status tetap, dalam tempoh percubaan atau kontrak.

“Ini penting bagi memastikan setiap pekerja sentiasa dilindungi. Mana-mana pekerja boleh membuat aduan kepada Perkeso jika majikan enggan mencarum,” katanya. – UTUSAN

The post Waris mangsa tanah runtuh terima pencen penakat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *