KUALA LUMPUR: Parti Warisan (Warisan) menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan parti yang mencapai jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15. 

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sokongan kepada kedua-dua gabungan parti kerana mereka mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan. 

“Oleh itu, PH dan BN patut diberi pilihan pertama untuk membentuk kerajaan. 

“Sokongan ini juga atas alasan bahawa kerajaan Persekutuan baharu nanti akan menyelesaikan sepenuhnya 21 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Warisan berharap yang PH bersama BN akan dapat menjamin rakan kongsi yang akan membolehkan pembentukan kerajaan Persekutuan seterusnya membawa kepada kestabilan politik dan perpaduan kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dalam hantaran di Facebooknya berkata, BN tidak akan menyokong PH atau Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan. 

“Alhamdulillah, Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) telah membuat keputusan tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

“BN tidak menyokong PH mahupun PN. Setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang,” katanya.

Kenyataan Ismail Sabri hadir tidak lama selepas Warisan menyatakan sokongan kepada PH dan BN.  

Warisan hanya menang tiga daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, iaitu di Semporna (Mohd. Shafie); Lahad Datu (Datuk Mohammad Yusof Apdal) dan Kota Belud (Isnaraissah Munirah Majilis). Warisan bertanding 52 kerusi di seluruh negara. 

Pada PRU14, parti itu memang lapan kerusi Parlimen di Sabah iaitu Semporna, Lahad Datu, Kalabakan, Papar, Penampang, Sepanggar, Kota Belud dan Batu Sapi. -UTUSAN

 

The post Warisan sokong PH, BN bentuk Kerajaan Persekutuan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *