ADUH, laparnya, bisik Fizi dalam hati. Dia memaut stereng dengan kemas sambil matanya melilau ke kiri kanan jalan melihat kalau-kalau ada warung yang masih dibuka. Dia jeling ke arah jam di papan pemuka kenderaan. Sudah hampir 12.45 malam. Sekali lagi dia mengeluh kecil sambil mengusap-usap perutnya yang sudah berbunyi.
Menyesal pula rasanya kerana tidak singgah makan sebelum bertolak tadi. Kalau tidak pasti tak akan jadi begini, rungutnya dalam hati.
Sedang matanya liar meninjau sekeliling, tiba-tiba dia terpandang ke arah cahaya dari celah deretan pohon sawit yang bersusun di sepanjang jalan. Terus dia perlahankan kenderaan.
Sebaik sahaja menghampiri cahaya tersebut terus dia tarik nafas lega. Serta-merta senyuman lega terbit daripada wajahnya. Tak sangka ada juga warung masih dibuka di kawasan kampung terpencil ketika ini. Terus dia berhentikan kenderaan di bahu jalan dan bergegas keluar.
Dia pandang ke arah warung yang bercahayakan lampu gasolin itu. Nampak sunyi tanpa ada seorang pelanggan pun ketika itu. Fikirnya mungkin ramai yang pulang kerana hari sudah lewat malam.
Matanya terus tertumpu ke arah beberapa kelibat manusia yang mundar-mandir di belakang warung tersebut. Terus dia tarik kerusi dan duduk di situ. Tidak berapa lama kemudian datang seorang lelaki separuh umur mengham­pirinya.
“Encik mahu pesan makanan? Kami sudah hendak tutup kedai ini,” kata lelaki itu tersenyum.
Terdiam Fizi seketika. Terus dia mengeluh kecil. Niat yang berkobar-kobar sedari tadi untuk menjamu selera terus terbantut. Nampaknya terpaksalah dia angkat kaki cari warung lain.
“Tapi tak apalah, saya nampak encik ini macam datang dari jauh, rasa kasihan pula,” kata lelaki tersebut sambil melemparkan senyuman.
Fizi tarik nafas lega. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih. Dia bersyukur dalam hati kerana tuan warung tersebut memahami keadaannya ketika itu, jika tidak terpaksalah dia menahan lapar sehingga bertemu warung berikutnya.
“Terima kasih sekali lagi ye bang. Abang buatkan saya nasi goreng kampung dan kopi O sahaja,” katanya tanpa berfikir panjang.
Setelah mengambil pesanan lelaki tersebut terus beredar ke belakang.
Fizi melihat dengan ekor mata, nampak jelas beberapa kelibat lelaki dan wanita sedang sibuk mundar-mandir seakan sedang mengemas sesuatu.
Sementara menunggu hidangan sampai matanya liar meninjau sekeliling. Jalan raya di hadapannya sudah sunyi tanpa deruan enjin kenderaan. Fikirnya mungkin penduduk di situ sudah lena dibuai mimpi. Dia tahu laluan tersebut juga bukanlah pilihan pemandu kerana rata-rata mereka lebih gemar menggunakan lebuh raya kerana waktu perjalanan singkat dan lebih selamat.
Jam di tangannya sudah menghampiri 1.30 pagi. Mengikut perkiraannya mungkin dalam masa tiga jam lagi dia akan sampai ke Kuala Lumpur. Dia sudah merancang untuk memandu ke luar melalui lebuh raya selepas habis makan nanti. Leceh juga kalau memandu ikut laluan kampung. Silap hari bulan lima jam baru sampai ke ibu kota. Lamunannya terhenti apabila seorang pelayan wanita membawa dulang berisi hidangan.
Fizi melemparkan senyuman sambil mengucapkan terima kasih. Tanpa menunggu lama dia terus menikmati hidangan dengan penuh berselera. Memang enak, malah lebih sedap daripada warung-warung yang pernah dia singgah sebelum ini. Bunyi sahutan burung hantu dan salakan anjing sesekali kedengaran dari hutan berdekatan. Fizi langsung tak ambil pusing. Baginya apa yang penting sekarang perutnya perlu diisi kerana akan mengharungi perjalanan selama tiga jam lagi. Lagipun kopi O yang dipesan mungkin dapat menyegarkan matanya waktu memandu nanti.
“Burppp…Alhamdulillah,” Fizi mengusap perut kekenyangan. Sambil menghirup kopi matanya memerhatikan sekeliling. Suasana sunyi ketika itu cukup berbeza berbanding ketika kedatangannya tadi.
Dia toleh ke arah dapur. Langsung tidak nampak kelibat sesiapa. Lantas dia terus menghabiskan baki makanan di pinggan sehingga licin.
“Ke mana pula mereka semua ini? Tadi nampak meriah semacam,” katanya dalam hati.
Dia bangun dan meninjau ke kiri dan kanan. Benar, memang tidak nampak sesiapa di situ. Dia garu kepala. Takkanlah mereka biarkannya seorang diri tanpa menunggu dia selesai makan dan membuat bayaran.
Dia cuba berfikir positif. Mungkin ramai pekerja di warung itu sudah balik ke rumah memandangkan mereka sudah menutup perniagaan, maklumlah hari pun sudah lewat malam.
Fizi ambil keputusan untuk membayar harga makanan dan beredar. Tidak molek juga kalau dia berada lama di situ. Kasihan pula kepada tuan punya warung tersebut kerana terpaksa menunggunya.
“Assalamualaikum… bang ooo bang… saya nak bayar ini,” katanya dengan nada sedikit kuat. Hampir beberapa kali juga dia memberi salam dan memanggil pekerja di situ namun masih tiada jawapan. Fizi berasa pelik, lantas dia terus menuju ke belakang dengan harapan dapat bertemu seseorang dan sekaligus membayar harga makanannya.
Tetapi sebaik sahaja dia sampai di belakang dia tergamam. Langsung tidak nampak sesiapa dan yang paling mengejutkan apabila keadaan di situ tidak terurus. Pinggan mangkuk berselerakan di dalam sinki, malah beberapa ekor tikus berlari-lari memanjat palang-palang kayu.
Mata Fizi liar memandang sekeliling. Jantungnya berdegup kencang melihat keadaan di situ. Persekitaran cukup usang, berhabuk seolah-olah sudah lama tidak berpenghuni dan ditinggalkan. Lalang dan semak samun hampir menutupi kawasan lapang di belakang.
Bau di situ juga cukup hapak dan meloyakan. Tidak sanggup rasanya untuk dia meninjau lebih lama lagi. Walaupun tubuhnya berasa lemah dan longlai namun dia cuba mengumpul sedikit kekuatan untuk meninggalkan tempat itu. Dia tahu ada sesuatu tidak kena dengan warung yang disinggahinya itu.
Sebaik sahaja menghidupkan enjin kenderaan, dia menoleh ke arah warung misteri itu. Sekali lagi jantungnya berdegup kencang apabila melihat keadaan warung itu. Dia kaget dan seakan tidak percaya.
Warung yang tadinya dilihat elok dan kukuh kini amat berbeza. Yang dilihatnya kini hanyalah warung usang yang hampir roboh menyembah bumi.
Sebahagian dinding papannya kopak dan tercabut. Atapnya pula sudah separuh runtuh malah beberapa kerusi dan meja kayu di situ bersepah dan tunggang-langgang.
Fizi tidak mampu memandu dengan tenang. Fikirannya begitu celaru. Dia mula risau kerana memikirkan apa hidangan yang diberikan oleh sosok misteri yang mengambil pesanannya tadi. Siapakah dia dan apakah makanan yang dihidangkan kepadanya itu? – MINGGUAN MALAYSIA

The post Warung misteri di jalan lama appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *