TEMERLOH: Kerajaan dicadang mewujudkan pelan komprehensif melatih tenaga buruh ladang generasi baharu Felda untuk mengganti atau mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing untuk menuai buah kelapa sawit di 317 tanah rancangan itu di seluruh negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, jika terus bergantung kepada buruh asing, Malaysia bukan sahaja kehilangan berbilion ringgit sebulan mengalir ke luar negara tetapi tanpa sedar melatih tenaga mahir perladangan kepada rakyat luar.

“Berikutan itu, tidak hairanlah industri perladangan sawit di Indonesia berkembang pesat mengatasi Malaysia kerana pengetahuan dan pengalaman dikembangkan di negara mereka,” katanya di sini semalam.

Abdullah berkata, generasi muda Felda ramai berminat menjadi penuai sawit tetapi gaji mereka mesti lebih tinggi berbanding buruh asing seperti Indonesia, Nepal, Bangladesh atau India.

“Sebagai tarikan, kerajaan perlu memuktamadkan faedah yang diperoleh buruh tempatan sepertimana kakitangan kerajaan mendapat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans, elaun perumahan dan kemudahan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui keperluan tenaga buruh di ladang sawit ketika ini kerana kelewatan kelulusan kemasukan pekerja itu menyebabkan sektor pengeluaran hasil mengalami masalah.

Beliau berkata, AMBFM menyarankan empat langkah bagi mengatasi masalah membawa masuk pekerja asing dalam sektor perladangan, perkhidmatan dan pembinaan.

“Antaranya mempermudah kemasukan buruh asing mengikut undang-undang tanpa kerenah birokrasi yang memeningkan majikan.

“Pada masa sama, kementerian terlibat perlu memastikan tidak ada broker persendirian atau ejen tidak berdaftar mengambil kesempatan membawa masuk buruh asing yang boleh menimbul pelbagai persepsi.

“Sebaliknya, pihak kementerian perlu memberi peluang kepada ejen swasta yang berdaftar dan berlesen kerana mereka akan mematuhi prosedur ditetapkan kerajaan,” katanya. – UTUSAN

The post Wujud pelan komprehensif lahir penuai sawit appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *