SAUDARA PENGARANG,

PELANTIKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 amat menyerlahkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka juga mengingatkan ahli-ahli Dewan Rakyat supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Solidariti jika diterjemahkan dalam konteks gabungan parti-parti politik di Malaysia adalah bermaksud perpaduan lengkap serta bersepakat.

Mengguna pakai nasihat serta peringatan bijaksana daripada Seri Paduka, maka cadangan Kerajaan Perpaduan Malaysia wajarlah digantikan dengan nama kerajaan Solidariti Nasional (SN).

Tanpa menunggu Pilihan Raya Umum Ke-16 lima tahun lagi, dengan wujudnya gabungan rasmi terbaharu ini, Malaysia bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara SN dengan Perikatan Nasional (PN) di pilihan raya negeri (PRN) Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Oleh kerana ahli-ahli Parlimen daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah sebahagian daripada kerajaan SN yang dipimpin oleh Anwar, justeru kepimpinan di akar umbi ahli UMNO perlu mempertahankan maruah saudara-saudara Muslim di dalam Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP yang cuba dicemari oleh Pas.

Walaupun pernah bekerjasama dengan DAP, Pas kini bersikap sebaliknya. Parti itu memang terkenal dengan sikap sering membuat pusingan U. Buktinya parti itu meninggalkan Muafakat Nasional (MN) yang mula digerakkan pada September 2018 yang merupakan kerjasama UMNO dan Pas.

Amat malang sekali, Pas akhirnya memilih Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lalu secara rasminya menolak untuk bekerjasama dengan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – UTUSAN

MELAYU MALAYSIA
Kuala Lumpur

The post Wujudkan gabungan Solidariti Nasional (SN) appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *