JERANTUT: Kerajaan dicadang mewujudkan sentri gajah liar seluas kira-kira 1,000 hektar di Pahang ekoran konflik antara haiwan itu dengan manusia yang seakan-akan tiada titik noktahnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gajah Liar Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, gajah liar perlu dikumpul dan diletakkan dalam kawasan khas bagi menghargai haiwan itu sebagai anugerah alam.

Menurutnya, gajah-gajah liar di negeri ini semakin hilang habitat untuk mencari makanan berikutan banyak kawasan hutan diteroka untuk sektor pertanian dan pembalakan.

“Oleh itu, kawasan khas per­lu diperuntukkan seluas kira-kira 1,000 hektar yang mempu­nyai anak sungai untuk kawasan rayau gajah liar.

“Pahang masih mempunyai tanah yang luas khususnya di daerah Jerantut bagi tujuan kawasan sentri gajah liar,” katanya di sini semalam.

Nazri berkata, sejak kebelakangan ini penduduk di pedalaman seperti di Ulu Tembeling dan perkampungan Orang Asli sering diancam serangan gajah liar malah turut membawa kematian.

Oleh itu tegasnya, Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) digesa lebih proaktif melakukan operasi berterusan termasuk menangkap gajah-gajah liar yang ganas.

“Setakat ini tiada pilihan dan mana-mana gajah yang ditangkap akan dihantar ke Tasik Kenyir, Terengganu walaupun kos penghantarannya sangat tinggi.

“Kewujudan Sentri Gajah di Pahang sangat relevan kerana dapat mengurangkan kos penghantaran gajah ke Terengganu yang mencecah RM55,000 seekor,” katanya.

Beliau berharap kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan konflik antara gajah dan manusia termasuk membina pagar elektrik di sekeliling kampung dan kebun masyarakat Orang Asli yang sering berdepan ancaman haiwan itu.

Menurutnya, kerajaan Pahang dilaporkan sudah memperuntukkan sehingga RM1 juta bagi membina pagar elektrik di beberapa kawasan tertentu di negeri ini.

Konflik antara gajah dan manusia semakin membimbangkan apabila berlaku kematian dipijak gajah dalam tempoh sebulan di Pos Senderut dan Pos Betau, Lipis baharu-baharu ini.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan seorang remaja lelaki Orang Asli, Andy Yok Manin, 15, maut dipijak dan ditusuk gading seekor gajah liar di Kampung Tual, Pos Senderut di Lipis.

Kejadian ngeri itu berlaku hanya sebulan selepas seorang wanita Orang Asli maut di­serang kawanan gajah liar di Pos Betau dekat Lipis pada 6 Disember tahun lalu. – UTUSAN

The post Wujudkan pusat sentri gajah liar di Pahang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *