SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin merujuk kepada tulisan Halim Osman dari Kulim, Kedah yang disiarkan di ruangan ini pada 15 Oktober lalu.

Penulis menyebut, setiap minggu ada sahaja kenyataan akhbar oleh pemimpin Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mempromosi parti terbabit.

Kami didakwa begitu memuja dan mengangkat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, seolah-olah tidak ada lagi manusia di negara ini yang mampu membangunkan Malaysia.

Dia juga menuduh Dr. Mahathir cuba dibohongi oleh pemimpin GTA dan Pejuang dengan mengatakan umat Melayu memberikan sokongan yang padu kepada beliau untuk kembali berkuasa.

Penulis turut menyatakan Dr. Mahathir tidak lagi diperlukan untuk menjadi pemimpin politik oleh rakyat terutama orang Melayu. Beliau diminta oleh orang Melayu untuk berehat di kala usia yang menjangkau 100 tahun beberapa tahun lagi.

Bagi saya, mungkin penulis telah lupa siapa Dr. Mahathir, seorang negarawan yang disegani dunia dan berpengalaman selama lebih 70 tahun dalam arena politik negara.

Tiada siapa yang perlu membohongi Dr. Mahathir kerana beliau boleh menilai sendiri keadaan negara yang telah rosak akibat ditadbir oleh mereka yang terbukti korup.

Bank Dunia meramalkan peringkat global akan menghadapi ekonomi yang lembab bermula 2023. Seperti sebelumnya, Malaysia tidak terkecuali daripada terkesan. Jika Malaysia tidak ditadbir oleh mereka yang cekap, negara akan menghadapi krisis ekonomi teruk.

Pemimpin mana yang berpengalaman menyelamatkan negara daripada krisis ekonomi berskala global sebelum ini?

Penjara

Ingat krisis ekonomi 1985, di mana dengan kejayaan Malaysia keluar dari kemelut itu, ia telah dikenali sebagai Harimau Ekonomi Asia.

Ketika krisis kewangan Asia 1998, tanpa perlu berhutang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Malaysia berjaya memulihkan ekonominya dan akhirnya dunia memuji tindakan kita sebagai yang terbaik. Bukankah, kedua-dua krisis ini diuruskan oleh pentadbiran Dr. Mahathir?

Dalam keadaan negara hendak terjerumus ke dalam satu lagi krisis ekonomi dunia, kepada pemimpin mana yang kita hendak letak keyakinan? Pemimpin yang berpengalaman dua kali atau pemimpin yang hendak selamatkan diri daripada kena penjara?

Untuk kefahaman saudara Halim dan orang ramai, GTA bukan semata-mata kumpulan politik, malah ia disertai oleh 12 kluster pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang digelar Gagasan Bangsa, yang mana setiap kluster mempunyai ratusan NGO bergabung dengannya.

Tidak lupa juga individu-individu berpengaruh dalam dunia seni, akademik serta agamawan umpamanya. GTA adalah gerakan yang membawa suara rakyat. Ya, kami kecil tetapi kami ramai.

Keperibadian Dr. Mahathir yang tidak mementingkan diri amat dihormati dan dihargai. Kesihatan diri dan pemikiran yang tajam kurniaan Allah SWT tidak digunakan untuk duduk di tikar sejadah memohon diri dimasukkan ke dalam syurga semata-mata.

Malah, digunakan untuk terus menyumbang kepada rakyat dan negara. Ia merupakan satu ibadah yang lebih besar ganjarannya. – UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

The post Yakin pemimpin macam mana? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *