PETALING JAYA: Yayasan Tenaga Nasional (YTN) memperuntukkan lebih RM1.7 bilion dana dalam bentuk biasiswa dan dermasiswa yang memberi manfaat lebih 20,000 pelajar untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) sepanjang 20 tahun lalu.

Yayasan yang ditubuhkan sejak 1993 itu menyediakan biaya melalui TNB Prime Scholarship, TNB Shine Sponsorship, Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) dan terbaharu, Biasiswa Khas TNB untuk anak-anak Orang Asli.

Pengerusi Tenaga Nasional  Bhd., Datuk Seri Hasan Arifin berkata, TNB komited membantu rakyat khususnya membangunkan potensi generasi muda dan meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi peluang pendidikan berkualiti untuk menyokong usaha kerajaan.

Katanya, tajaan ini adalah kesempatan terbaik bagi para penerima mendapatkan pendidikan selain mengembangkan potensi diri di mana manfaatnya turut dinikmati oleh ahli keluarga pelajar.

“Pada tahun ini, TNB melalui YTN menawarkan biasiswa kepada anak-anak Orang Asli untuk mengikuti pengajian peringkat diploma dalam bidang perakaunan dan pengajian bisnes di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Muadzam Shah.

“Saya percaya jika diberi peluang penajaan di samping dibimbing oleh tenaga pengajar yang berkualiti, anak-anak ini mampu untuk berjaya seterusnya membina kehidupan yang lebih baik untuk keluarga dan masyarakat keseluruhan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan YTN bagi pelajar UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Bandar Muadzam Shah, Pahang.

Tahun ini, seramai 470 siswa mendapat pembiayaan meliputi 60 penerima TNB Prime Scholarship, 30 penerima TNB Shine Sponsorship, 10 penerima Biasiswa Khas TNB dan 370 lagi penerima MyBF dalam kalangan B40.

Tambah Hasan, TNB berhasrat memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan komuniti dan peluang pendidikan terbaik kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah selari Inisiatif Peralihan Tenaga TNB yang berteraskan Alam Sekitar Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Pada masa ini, lebih 6,200 pelajar tajaan YTN mengikuti pengajian di IPT dengan biaya RM100 juta merangkumi yuran pendaftaran, yuran pengajian, elaun sara hidup bulanan dan elaun komputer.

YTN terima lebih 10,800 permohonan daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, bagaimanapun pemilihan berdasarkan kecemerlangan akademik, kepimpinan dan penglibatan aktif dalam ko-kurikulum.

YTN bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli dan UNITEN untuk kenal pasti pelajar yang cemerlang dalam SPM untuk ditawarkan Biasiswa Khas TNB.

Selain pembiayaan kewangan, YTN juga menyediakan program-program pembangunan demi membangunkan potensi pelajar tajaan dari sudut kemahiran dan kepimpinan. –UTUSAN

The post Yayasan Tenaga Nasional peruntuk RM1.7 bilion untuk lebih 20,000 pelajar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *