LUMUT: Sejak hadir di Manjung pada tahun 2011, Vale di Malaysia (Vale) tidak pernah lupa untuk memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling di mana Vale beroperasi, sejajar dengan strategi global syarikat tersebut.

Baru baru ini, syarikat itu melancarkan Program Memperkasakan Belia atau Youth Empowerment Program Vale ([email protected]) dengan matlamat untuk menyediakan peluang dan sokongan pendidikan secara inklusif untuk golongan belia dan remaja di daerah Manjung, terutamanya kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan komuniti neurodiverse.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia, Leonardo Paiva, [email protected] berkonsepkan usaha merapatkan jurang pendidikan secara mapan untuk belia dan remaja di daerah itu selepas berakhir pandemik Covid-19.

LEONARDO PAIVA

“Vale menyediakan peruntukan dalam anggaran RM5 juta sebagai pelaburan sosial bagi menjayakan program tersebut sehingga 2025,” jelas beliau.

Jelasnya lagi, program tersebut yang bermula tahun ini termasuk menyediakan kelas tuisyen percuma kepada anak golongan B40 bagi mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris yang diadakan di Pusat Ekologi Vale (VEC) di Teluk Batik.

Dengan mengambil kira kesinambungan jangka panjang, inisiatif yang dirancang di bawah [email protected] termasuk kelas tuisyen percuma dan kelas seni ‘Tunas Seni’ untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, penajaan untuk institusi pendidikan tempatan yang menyokong pembelajaran neurodiverse, bengkel tahunan SPM, dan ‘Piala Vale’, sebuah program yang memupuk kemahiran perbahasan di kalangan pelajar-pelajar tempatan.

Seramai 20 pelajar terlibat bagi setiap mata pelajaran dengan pemilihan pelajar dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung manakala prestasi pelajar dipantau dari semasa ke semasa.

Pada masa yang sama, seminar teknik menjawab soalan mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sejarah, Fizik dan Matematik Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) oleh guru pakar turut diadakan pada bulan ini.

Seminar selama dua hari melibatkan 200 pelajar itu diadakan dengan kerjasama PPD Manjung sebagai usaha memastikan pelajar dapat menjawab soalan empat mata pelajaran itu dengan betul dalam peperiksaan SPM yang bermula pada Februari depan.

Katanya, Vale turut menganjurkan pertandingan pengucapan awam dalam Bahasa Inggeris bagi merebut Piala Vale yang telah diadakan pada 29 November lalu.

Seramai 17 orang pelajar mengambil bahagian di dalam dua kategori peringkat sekolah rendah bagi usia 10 hingga 12 tahun serta sekolah menengah bagi usia 13 hingga 15 tahun, sebagai usaha menggilap bakat berpidato dalam kalangan remaja dan belia.

Peserta berhujah isu berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang juga antara komitmen Vale khususnya di Manjung, menerusi tajuk ‘Respecting the Planet, Together’, dengan pemenang menerima Air Pods jenama Apple dan peranti tablet jenama Samsung.

Jelas beliau, keprihatinan Vale turut meliputi usaha membantu pembelajaran golongan kanak-kanak berkeperluan khas terutamanya yang menjadi pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Ia termasuk mengadakan bengkel dan seminar bertajuk ‘Intervensi Awal untuk Kanak-Kanak Berkeperluan Khas’ kepada guru-guru PDK sekitar daerah Manjung pada 14 hingga 16 Oktober lalu.

“Seramai 22 guru dari lima PDK dari Sitiawan, Beruas, Pulau Pangkor, Pantai Remis dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil bahagian dalam bengkel yang dikendalikan oleh Pengasas dan Perunding Kesihatan Mental Persatuan MINDS Pulau Pinang, Dr. R. Rajesvari.

“Bengkel ini bertujuan untuk memahirkan lagi guru-guru tersebut dalam melatih dan mengendalikan kanak-kanak istimewa ini,” ujar beliau.

Leonardo memaklumkan, Vale turut menyumbangkan peralatan termasuk kelengkapan pembelajaran kepada PDK Asy Syamsu, Beruas, berupa alat bantuan oksigen, set kelengkapan komputer peribadi, dakwat mesin pencetak serta kertas A4 bernilai kira-kira RM8,000 tahun ini.

Tahun lalu, Vale menyumbangkan peralatan kemudahan permainan, peralatan ko kurikulum serta alat-alat pembelajaran kepada PDK Nur Hidayah, Sitiawan, bernilai lebih RM13,000.

“Vale percaya terhadap pendekatan pelbagai hala dalam pendidikan adalah penting, justeru [email protected] turut meliputi kanak-kanak kurang keupayaan dan mereka yang berlatar belakang sosioekonominya tidak menentu.

“YEP menandakan transformasi berterusan kami ke arah meningkatkan fokus penyampaian impak sosio ekonomi syarikat kepada masyarakat Manjung.

“Sejak bermulanya operasi Vale di sini, syarikat telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada golongan sasar, namun untuk benar-benar membangunkan komuniti yang madani di sini secara jangkamasa panjang, tumpuan juga harus diberikan dalam aspek pembangunan modal insan di sini.

“Pelan YEP bertunjangkan aspirasi belia tempatan yang memerlukan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan inklusif bagi memenuhi impian dan cita-cita mereka di dalam dan luar Perak.

“Harapan kami, pelaburan Vale melalui YEP ini mampu menjana impak positif yang berterusan kepada belia di Manjung, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan,” jelas Ketua Pegawai Pentadbiran dan Kelestarian Vale di Malaysia, Afzal Mohsin. –

Sedia bantu kanak-kanak berkeperluan khas di PDK

LUMUT: “Kami mudah berurusan dengan Vale, bila mohon, mudah dapat bantuan,” kata Norazura Desa yang menjadi Penyelia di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Nur Hidayah, Sitiawan dekat sini.

Menurut beliau, selepas 10 tahun beroperasi, pihaknya bertuah kerana mendapat sokongan daripada Vale terutama dalam menyumbang peralatan diperlukan bagi kegunaan 44 pelatih untuk membantu golongan kanak-kanak berkeperluan khas di PDK tersebut.

Jelasnya, tahun lalu sahaja, PDK itu menerima sumbangan beberapa peralatan dan kelengkapan seperti alat permainan, peralatan ko kurikulum serta alat-alat pembelajaran bernilai lebih RM13,000.

Katanya, PDK tersebut termasuk pelajarnya juga sering dijemput menghadiri pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh Vale.

Bagi Penyelia PDK Asy Syamsu di Beruas, Salawati Mohd. [email protected] Nasir, pihaknya bersyukur selepas menerima beberapa kelengkapan dan peralatan bernilai lebih RM8,000 yang disumbangkan Vale tahun ini.
Jelasnya, seramai tiga guru dan 16 pelatih di PDK tersebut teruja dan berterima kasih terhadap sumbangan itu khususnya alat bantuan oksigen untuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang ditempatkan di situ.

Selain itu, beliau memaklumkan guru di PDK itu berterima kasih terhadap Vale yang menganjurkan bengkel melatih mereka mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas baru-baru ini dan berharap kursus seumpama itu diteruskan pada masa depan bagi memahirkan lagi mereka dengan ilmu melibatkan kanak-kanak berkenaan. – UTUSAN

 

 

 

 

The post [email protected] bukti komitmen Vale untuk masa depan Manjung appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *