KUALA LUMPUR: Pasangan No. 7 dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memastikan slot suku akhir menjadi milik mereka, namun, pilihan pertama, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto menjadi lawan beregu negara itu pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena, hari ini.

Dalam perlawanan pusingan kedua, semalam, beregu profesional Malaysia itu dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan ke atas gandingan Taiwan yang menghuni ranking ke-15 dunia, Lu Ching Yao-Yang Po Han 17-21, 21-13, 21-14.

Yew Sin-Ee Yi akhirnya berjaya merapatkan jurang rekod pertemuan kepada 2-3 ke atas pasangan Taiwan itu setelah kali terakhir mereka menewaskan Ching Yao-Po Han ialah pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018.

Yew Sin ketika ditemui pemberita berkata, bukan mudah berdepan dengan beregu Taiwan itu, dalam set pertama mereka ketinggalan sehingga membiarkan lawan mencuri mata demi mata.

“Kita ketinggalan dalam set pertama, banyak mata yang kami cicirkan, rugi sangat buang mata begitu sahaja. Jadi pada set kedua, kami bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya.

Ketika ditanya sasaran mereka pada kejohanan berstatus Super 1,000 tersebut, pemain berasal dari Melaka itu memberitahu, mereka enggan memikirkan terlalu jauh dan fokus kini ialah pada suku akhir menentang Fajar dan Muhammad Rian.

Selain menerima sokongan padu daripada penyokong tempatan, kejayaan Yew Sin-Ee Yi menewaskan beregu handalan Indonesia itu dalam saingan kumpulan pada Jelajah Dunia Akhir di Bangkok, Thailand, Disember lalu, sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan mereka.

Fajar ketika ditemui pemberita berkata, bertemu dengan beregu Malaysia bukan satu tugas mudah, lebih-lebih lagi mereka beraksi di laman sendiri.

“Persiapan mental perlu ada kerana penyokong sudah tentu berada di belakang mereka. Bermain di Axiata Arena bukan asing bagi kami, suasananya seperti di Indonesia juga,” ujarnya.

Sementara itu, wakil tunggal Malaysia dalam perseorangan wanita, Goh Jin Wei ditunjukkan jalan keluar oleh pemain No. 4 dunia, An Se Young 10-21, 12-21 dalam masa 33 minit.

Turut mengikut jejak langkah Jin Wei ialah beregu wanita negara yang menjadi bidan terjun pada Terbuka Malaysia, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang tunduk kepada pasangan No. 4 dunia, Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China 10-21, 7-21 juga dalam masa 33 minit.-UTUSAN

 

The post Yew Sin-Ee Yi jumpa No.1 dunia di suku akhir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *