PADANG BESAR: Penerimaan pengundi di Padang Besar terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zahida Zarik Khan semakin baik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Padang Besar, Asmaiza Ahmad berkata, meskipun Zahida tidak dapat turun berkempen ekoran berada dalam tempoh idah namun jentera khususnya wanita terus giat membantu bagi memastikan kemenangan Ketua Puteri UMNO Malaysia itu.

Menurut beliau, pada peringkat awal akar umbi mungkin sedikit terkesan ekoran penyandangnya, Datuk Zahidi Zainul Abidin tidak dicalonkan namun akhirnya mereka akan lebih memilih parti berbanding individu.

“Di peringkat Bahagian kita sebulat suara akan memastikan Zahida menang di Parlimen Padang Besar. Setiap calon  BN di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) juga bergerak seiring dan dalam masa sama membantu kempen Zahida,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Di Parlimen Padang Besar, Zahida bakal ditentang Zahidi (Bebas); Ko Chu Liang (Warisan); Rushdan Rusmi (PN) dan Muhammad Saad @ Yahya (PH) dalam pertembungan lima penjuru.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, UMNO Bahagian Padang Besar menggerakkan jentera dari setiap lima DUN secara holistik bagi membantu kempen Zahida di Parlimen Padang Besar.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Azizan Sulaiman dilaporkan berkata, kira-kira 1,000 jentera DUN Titi Tinggi, Beseri, Chuping, Mata Ayer dan Santan digerakkan di seluruh kawasan parlimen.

Terdahulu, Zahida yang terpaksa membataskan pergerakan ketika berkempen kerana masih dalam tempoh idah selepas kematian suami Ogos lalu bergantung harap kepada seluruh jentera parti bahagian tersebut untuk membantunya.

Tambah Asmaiza yang juga calon kerusi DUN Chuping, kempen mereka turut memperkenalkan Zahida sebagai pemimpin UMNO di peringkat pusat yang sudah pastinya mempunyai kelebihan jika diberi mandat.

“Sebagai pemimpin di peringkat pusat, Zahida sudah pastinya akan diberi ruang di dalam jemaah Kabinet sama ada sebagai Menteri atau Timbalan Menteri sekali gus bakal memberi manfaat kepada penduduk Padang Besar,” katanya.- UTUSAN

 

The post Zahida semakin diterima di Padang Besar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *