ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menghantar sebanyak 24,000 kampit beras ke Kelantan dan Terengganu yang berdepan banjir ketika ini sebagai tanda prihatin selain meringankan beban mangsa yang terlibat.

Empat buah treler beserta kenderaan-kenderaan lain menyertai konvoi khas menghantar barangan asas tersebut untuk diedarkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan melakukan pelepasan konvoi tersebut di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini yang turut dihadiri Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman.

Tengku Sarafudin bertitah, sebagai salah satu negeri yang berada di bawah negara yang sama, semua pihak termasuk Kedah wajar menolong negeri-negeri yang ditimpa musibah seperti banjir.

“Kita tahu banjir di sana teruk, ramai yang dilaporkan terkandas. Jadi pada saya kita yang duduk di dalam satu negara ini patut tolong-menolong antara satu sama lain tanpa mengira negeri apa yang dilanda banjir atau bencana.

“Kita harapkan bantuan ini sedikit sebanyak boleh membantu meringankan bebanan ditanggung mangsa-mangsa banjir untuk mendapatkan keperluan asas dan saya juga berharap mereka yang terlibat agar mendengar nasihat pihak berkuasa dari masa ke semasa,” titah baginda kepada pemberita di sini, hari ini.

Selain beras, konvoi yang turut diiringi kenderaan pengiring Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu turut menghantar 24,000 botol kicap yang disumbangkan Syarikat Mudim Zakaria Industries Sdn. Bhd. yang merupakan Muzakki atau pembayar zakat kepada LZNK.

Sementara itu, Syeikh Zakaria berkata, sebagai sebuah institusi yang menjaga kemaslahatan ummah, LZNK turut bertanggungjawab merangka beberapa jenis bantuan yang boleh disalur bagi membantu mereka yang terjejas dalam menangani musibah itu terutamanya cabaran pemulihan pasca banjir.

“Majlis penyerahan sumbangan di kedua-dua negeri tersebut dijangka diadakan esok di Depot Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Marang di Terengganu, manakala di Kelantan akan ditentukan kemudian oleh MAIK.

“Orang ramai yang ingin turut menyumbang dalam misi bantuan ini, boleh salurkan sumbangan melalui portal Asnaf Care Lembaga Zakat Negeri Kedah di pautan http://asnafcare.com.my,” katanya. –UTUSAN

The post Zakat Kedah hantar 24,000 kampit beras ke Pantai Timur appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *