SUNGAI BULOH: Selepas beberapa isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dibangkitkan sebelum ini, kini Pakatan Harapan (PH) menyerang kerajaan sedia ada berkaitan isu harga ayam dan kekurangan telur ayam di pasaran.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, beliau telah berjumpa dengan beberapa syarikat pembekal utama ayam dan telur ayam bagi mengetahui punca sebenar berhubung isu berkenaan.

Saifuddin yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, maklum balas pemain industri itu jelas mengatakan semuanya berpunca daripada kerajaan yang gagal memainkan peranan.

“Hal yang berlaku sekarang disebabkan kerajaan lepas tangan…Tubuhlah pasukan jihad bagaimana pun. Saya sudah berjumpa dengan pengusaha dan mereka kata kerajaan sedia ada tiada minat, tiada kualiti pengurusan dan tiada kecekapan urus soal bekalan.

“Situasi itu menyebabkan rakyat menjadi mangsa. Harga ayam melambung naik sehingga RM9.80 sekilogram dan juga tiada bekalan telur. Dahulu masa kerajaan PH, harga ayam sangat amat rendah,” katanya dalam ceramah umum di sini semalam.

Sehubungan itu katanya, rakyat perlu membuat pilihan yang tepat pada Sabtu ini bagi memilih kerajaan yang mampu membela nasib rakyat dan PH telah terbukti mampu mengurus kos sara hidup dengan baik bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Selepas PRU14, Malaysia mempunyai tiga kerajaan…sekali undi, dapat tiga Perdana Menteri. Jadi, rakyat boleh menilai tiga kerajaan sebelum ini. Zaman PH, zaman PN dan BN serta zaman BN, pilihlah parti mana yang jalankan khidmat dengan baik.

“Zaman kita (PH) ayam murah dan bekalan telur juga tidak putus dan apa yang penting kita boleh berikan prestasi yang sama jika diberikan mandat dalam PRU15 ini, rakyat mesti pilih PH,” katanya yang menerima tepukan gemuruh penyokong PH. – UTUSAN

The post Zaman PH ayam murah, telur sentiasa ada – Saifuddin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *