BAITULMUQADDIS: Kementerian pertahanan Israel merancang menyerang tapak nuklear Iran dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi dalam komen luar biasa menterinya mengenai sasaran baharu rejim zionis itu.

Ketika usaha antarabangsa untuk memperbaharui perjanjian nuklear 2015 yang terhenti, Iran dilaporkan meningkatkan pengayaan uranium, satu proses dengan kegunaan awam yang akhirnya boleh menghasilkan bahan api untuk bom nuklear walaupun mereka menafikan mempunyai reka bentuk sedemikian.

Pakar berkata, Iran berpotensi meningkatkan ketulenan uraniumnya kepada gred senjata dalam masa yang singkat tetapi membina kepala peledak yang boleh dihantar akan mengambil masa bertahun-tahun, sama seperti diutarakan seorang jeneral perisikan tentera Israel awal bulan ini.

“Dalam dua atau tiga tahun, anda mungkin akan merentasi langit ke arah timur dan mengambil bahagian dalam serangan ke atas tapak nuklear di Iran,” kata Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz kepada graduan kadet tentera udara dalam ucapannya baru-baru ini.

Selama lebih sedekad, Israel telah mengeluarkan ancaman untuk menyerang kemudahan nuklear musuh ketatnya jika diplomasi kuasa dunia dengan Teheran berdepan jalan buntu.

Walaubagaimanapun, sesetengah pakar meragui kemampuan Israel sama ada mereka mempunyai pengaruh ketenteraan untuk memusnahkan sasaran di Iran yang lebih jauh, luas dan dipertahankan dengan baik itu.

Menurut akhbar Hayom, perisikan tentera Israel meramalkan tahun depan Iran akan meneruskan rancangannya yang perlahan untuk memajukan senjata nuklearnya.

“Iran hanya akan mengubah dasarnya jika sekatan melampau dikenakan ke atasnya, kemudian negara itu bakal memutuskan untuk mempercepatkan pengayaan kepada gred tentera,” kata laporan itu, yang disahkan oleh jurucakap tentera sebagai memetik penilaian risikan tulen.

Di bawah dasar yang kabur bagi menghalang musuh sekeliling sambil mengelakkan provokasi yang boleh mendorong perlumbaan senjata, Israel tidak mengesahkan mahupun menafikan mempunyai senjata nuklear.

Namun ramai pakar percaya rejim zionis memilikinya setelah memperoleh bom pertama pada akhir tahun 1966.

Tidak seperti Iran, Israel tidak menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) 1970 yang menawarkan akses kepada teknologi nuklear awam sebagai pertukaran untuk pemilikan senjata nuklear.

TINDAS PALESTIN AGENDA UTAMA

Walaupun ‘bernafsu besar’ menyerang Iran, Israel masih belum puas menindas rakyat Palestin apabila kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu meletakkan perluasan penempatan Tebing Barat di senarai teratas keutamaannya.

Kelmarin, Netanyahu berikrar untuk menghalalkan berpuluh-puluh pos yang dibina secara haram dan menggabungkan wilayah yang diduduki sebagai sebahagian daripada perjanjian gabungannya dengan sekutu ultranasionalnya.

Perjanjian gabungan itu, yang dikeluarkan sehari sebelum kerajaan mengangkat sumpah jawatan, termasuk bahasa yang menyokong diskriminasi terhadap golongan LGBTQ+ atas dasar agama, serta gaji yang besar untuk lelaki ultra-Ortodoks yang lebih suka belajar daripada bekerja.

Pakej itu meletakkan asas permulaan yang buruk bagi kerajaan Netanyahu dan boleh meletakkannya bertentangan dengan sebahagian besar orang awam Israel dan sekutu terdekat Israel di luar negara.

Senarai panjang garis panduannya diketuai oleh komitmen untuk memajukan dan membangunkan penempatan di semua bahagian tanah yang diduduki termasuk Tebing Barat.

Kebanyakan masyarakat antarabangsa menganggap penempatan Tebing Barat Israel tidak sah dan menjadi penghalang kepada perdamaian dengan Palestin.

Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada kerajaan baharu itu supaya tidak mengambil langkah yang boleh menjejaskan harapan untuk menubuhkan negara Palestin yang merdeka.

The post Zionis ‘idam’ serang tapak nuklear Iran dua tahun lagi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *