KUALA LUMPUR: “Saya masih berdiri di lampu trafik Jalan Kerja Ayer Lama, Ampang untuk melambai pengundi saya di kawasan ini.” 

Demikian kata Datuk Seri Zuraida Kamaruddin sekali gus mengesahkan bertanding mempertahan kerusi Parlimen Ampang mewakili Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Bekas Ketua Wanita PKR itu berkata, penduduk Ampang sudah mampu menilai mengenai perwatakan beliau sebagai wakil rakyat. 

“Saya syukur, 15 tahun saya di Ampang, jentera saya di kawasan ini sentiasa tersusun dan mampu menyantuni rakyat. Kita sentiasa berkhidmat untuk mereka.

“Orang Ampang ada kepercayaan yang tinggi pada saya kerana pusat khidmat di sini tanpa jemu sentiasa bekerja untuk rakyat,” katanya ketika hadir majlis penyerahan 50,000 pelitup muka di Pusat Khidmat Parlimen Ampang, di sini hari ini.

Sementara itu,  Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Hizwan Ahmad yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, kedudukan Zuraida di Ampang kukuh dan berjaya mengekalkan kepercayaan penduduk kawasan itu setelah berkhidmat sejak 2007. 

“Kita akan berdepan dengan kata-kata, tomahan dan nista pada PRU-15 ini namun kita sebagai satu pasukan (jentera PBM) perlu faham perkara ini dan memperkukuh kerja keras Zuraida,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama parti itu bersama Barisan Nasional (BN), Zuraida berkata, perkara itu masih dalam tempoh penelitian oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

“Ia masih diteliti dan penelitian ini merangkumi perihal pertembungan kerusi. Kita cuba untuk tidak bertembung.

“Pagi tadi saya baru sahaja bertemu dengan Ahmad Zahid untuk meneruskan perbincangan,” katanya. – UTUSAN

 

The post Zuraida sah tanding di Ampang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *